PUTRAJAYA: Seramai 41,683 murid pra sekolah, sekolah rendah dan menengah di Wilayah Persekutuan Putrajaya memulakan sesi akademik 2026 pada hari ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Nadimin Abdul Aziz berkata, jumlah itu melibatkan 21,562 murid lelaki dan 20,121 murid perempuan masing-masing di 16 sekolah rendah dan 12 sekolah menengah.
“Kemasukan murid pra sekolah bagi tahun 2026 di Putrajaya adalah seramai 1,035 orang, manakala murid Tahun 1 berjumlah 3,332 orang dan Tingkatan 1 seramai 4,092 orang,” katanya.
Terdahulu Nadimin mengiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Ahmad Suhaimi Endut meninjau hari pertama persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(1) di sini hari ini.
Sementara itu, Pengetua SMK Putrajaya Presint 18(1), Dr. Mazira Mohd Zain ketika ditemui berkata, pengisian pada minggu pertama persekolahan lebih memberi tumpuan kepada aktiviti di luar bilik darjah.
Jelasnya, antara aktiviti yang dijalankan termasuk permainan matematik yang membantu pelajar untuk menyesuaikan diri dalam suasana lebih menyeronokkan.
“Kita pandu guru untuk buat sesuatu yang lain daripada biasa, sesuatu yang unik untuk tingkatkan keyakinan diri pelajar serta selari dengan usaha pendigitalan,” katanya. – UTUSAN










