PUTRAJAYA: Sejumlah 4.07 juta kenderaan di negara ini dikesan tidak lagi ‘aktif’ di jalan raya selepas tidak memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi tempoh tiga tahun atau lebih.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jumlah itu membabitkan 20.7 peratus daripada 19.69 juta kenderaan yang telah didaftarkan di Malaysia sehingga 31 Disember 2025.
Beliau berkata, statistik oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu juga mendedahkan kenderaan itu berpotensi besar untuk dikategorikan sebagai kenderaan terbiar.
“Jika ia (kenderaan terbiar) tidak diuruskan secara sistematik, ia boleh menimbulkan risiko keselamatan,
pencemaran alam sekitar serta gangguan kepada komuniti setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program Geran Padanan Bagi Penggantian Kenderaan Lama di sini, hari ini.
Justeru, katanya, program geran padanan yang dilancarkan ini diharap dapat mengurangkan bilangan kenderaan lama yang tidak lagi selamat digunakan di jalan raya, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan dan melindungi nyawa pengguna jalan raya.
Loke berkata, kenderaan lama lazimnya lebih terdedah kepada kegagalan mekanikal, kurang dilengkapi ciri keselamatan moden, serta tidak memenuhi piawaian keselamatan semasa.
Oleh itu, katanya, penggantian kenderaan uzur melalui program ini dilihat sebagai satu intervensi keselamatan jalan raya yang signifikan dan berimpak tinggi.
“Program geran padanan ini turut disokong oleh Sistem Pembatalan Pendaftaran Kenderaan Secara Dalam Talian (Sistem e-DeREG) oleh JPJ, yang membolehkan pemilik kenderaan membatalkan pendaftaran secara digital tanpa perlu hadir ke kaunter,” katanya.
Jelasnya lagi, melalui mekanisme AATF, ia membantu mengelak penyalahgunaan identiti dan nombor pendaftaran; memastikan kenderaan lama tidak kembali ke jalan raya secara haram; mengurus bahan buangan dan komponen kitar semula dengan selamat dan menyokong agenda kelestarian alam sekitar dan ekonomi kitaran.
Loke berkata, program geran padanan itu berkuat kuasa mulai hari ini yang menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta membabitkan penggantian kira-kira 5,000 kenderaan lama berusia 20 tahun dan ke atas.
Menurutnya, program geran padanan itu dilancarkan khusus bagi penggantian kereta baharu jenama Proton dan Perodua sahaja dengan rebat sehingga RM4,000.
“Jika program ini mendapat sambutan daripada rakyat, kita akan memohon Kementerian Kewangan (MOF) untuk menambah peruntukan dan dana,” katanya. – UTUSAN










