295 undang-undang lapuk sudah disemak

295 undang-undang lapuk sudah disemak

PEGUAM Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar ditemui media selepas Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam. -UTUSAN/Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 295 undang-undang Persekutuan sebelum 1969 berjaya disemak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) setakat ini, bagi memastikan ia kekal relevan dan berfungsi dengan berkesan.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan AGC dalam memperkukuh rangka kerja perundangan negara melalui pelaksanaan kuasa di bawah Akta Penyemakan Undang-Undang 1968 [Akta 1], khususnya bagi menilai semula peruntukan lama yang tidak lagi selari dengan keperluan semasa.

Beliau berkata, proses penyemakan tersebut melibatkan penelitian menyeluruh terhadap struktur, bahasa dan kandungan undang-undang lama bagi memastikan kejelasan, ketepatan serta keseragaman pelaksanaannya dalam sistem keadilan negara.

“Walaupun bersifat teknikal dan pentadbiran, kerja-kerja penyemakan ini merupakan tulang belakang kepada kestabilan undang-undang negara,” katanya semasa berucap dalam Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Mohd. Dusuki berkata, pada tahun lalu sahaja pihaknya sudah menyemak 12 undang-undang Persekutuan, termasuk dua undang-undang utama, sekali gus membuktikan komitmen berterusan jabatan itu dalam agenda pembaharuan perundangan.

Katanya, AGC turut mencetak semula Perlembagaan Persekutuan dalam teks bahasa Inggeris dan bahasa Kebangsaan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, selain mencetak semula 39 akta dan perundangan subsidiari atas permintaan pelbagai kementerian.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, terdapat lebih 3,000 undang-undang lapuk perlu dikaji semula bagi memastikan ia kekal relevan dengan peredaran masa.

Jelasnya, terdapat undang-undang di negara ini yang dirangka sebelum zaman kemerdekaan dan kini dilihat tidak lagi menepati keperluan masa kini. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN