25 graduan UMPSA-BJTU bersedia masuki industri rel

25 graduan UMPSA-BJTU bersedia masuki industri rel

Yatimah Alias bersama graduan Program Akademik Ijazah Dual UMPSA-Beijing Jiaotong University (BJTU) kohort 2 di Korea Selatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mencipta sejarah apabila seramai 25 graduan daripada kohort kedua Program Ijazah Dual antara UMPSA dan Beijing Jiaotong University (BJTU) berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan yang menyokong agenda pembangunan industri rel negara.

Mereka terdiri daripada tujuh graduan jurusan Kejuruteraan Awam , 10 orang jurusan Kejuruteraan Elektrik (Sistem Kuasa) dan lapan orang jurusan berkaitan Kejuruteraan Mekanikal setelah mengikuti pengajian selama dua tahun di UMPSA sebelum menyambung pengajian selama dua setengah tahun di BJTU, China.

Majlis menyaksikan Presiden Beijing Jiaotong University (BJTU), Prof. Dr. Yu Zujun menyampaikan ijazah kepada graduan disaksikan oleh Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Yatimah Alias dan Timbalan Pengarah, Kluster Pembangunan Strategik Pelajar, Bahagian Pembangunan Modal Insan (BPMI), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Idayuwati Abdullah @Ab Rahman.

Menurut Yatimah, bidang kejuruteraan rel dikenal pasti sebagai sektor strategik negara, khususnya dalam menyokong mobiliti mampan.

Ujarnya, program yang diiktiraf di kedua-dua negara ini direka khusus bagi memenuhi keperluan industri terhadap jurutera berkemahiran tinggi dalam teknologi moden, sistem keselamatan, pendigitalan serta piawaian antarabangsa.

“Menerusi pengalaman pembelajaran di UMPSA dan BJTU, graduan didedahkan kepada amalan terbaik antarabangsa, teknologi rel termaju serta persekitaran pembelajaran pelbagai budaya, sekali gus bersedia menyumbang dalam reka bentuk, operasi, penyelenggaraan dan inovasi mobiliti pintar.

“Program kerjasama ini bukan sahaja memberi pendedahan global kepada pelajar, tetapi turut mengangkat nama UMPSA sebagai universiti teknikal berteraskan kejuruteraan dan teknologi berdaya saing di pentas dunia,” katanya.

Susulan kejayaan kerjasama tersebut, pihaknya turut berbincang dengan Yu Zujun untuk meneruskan kerjasama ke program dual ijazah tinggi (sarjana dan doktor falsafah) dalam bidang logistik, pengurusan, teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI).

“Kerjasama ini akan turut disokong dengan geran padanan oleh kedua-dua institusi bagi calon dual secara penyelidikan”, ujarnya.

Selain itu, kejayaan program tersebut turut dibuktikan melalui pencapaian kebolehpasaran graduan yang memberangsangkan.
Ini berdasarkan kohort pertama seramai 45 orang mencatat kadar kebolehpasaran 100 peratus dan bekerja dalam bidang kejuruteraan terutamanya berkaitan industri rel.

Pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak BJTU dan rakan penaja JPA atas sokongan berterusan dalam pembangunan modal insan negara.

Program ijazah dual UMPSA turut mendapat sokongan dan tajaan daripada Mara, Yayasan Terengganu dan lain-lain.

Hadir sama Naib Presiden BJTU, Prof. Dr. Gao Liang , Timbalan Pengarah, Kluster Pembangunan Strategik Pelajar, Bahagian Pembangunan

Modal Insan (BPMI), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Idayuwati Abdullah @Ab Rahman .
Program Ijazah Dual UMPSA-BJTU merupakan inisiatif strategik yang memberi pendedahan bukan sahaja kepada pembelajaran akademik tetapi juga pengalaman industri secara langsung di China dan Malaysia.

Graduan akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan sektor rel negara, terutamanya projek berskala besar seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek rel lain.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN