14 ajaran sesat dalam radar pihak berkuasa

14 ajaran sesat dalam radar pihak berkuasa

ZULKIFLI Hasan (tengah) bergambar bersama penerima bantuan pada Program Santuni Mangsa Banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 14 ajaran sesat yang masih bergerak aktif di negara ini berada dalam radar pemantauan kerajaan supaya pergerakannya tidak menggugat keimanan umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, kerjasama erat antara institusi hal ehwal agama Islam Persekutuan dan negeri bersama pihak berkuasa bagi membanteras ajaran itu.

Kata beliau, sejarah menunjukkan ajaran-ajaran sesat tidak pernah tidur dengan percubaan mempengaruhi dan mencemari pemikiran rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa dan pihak hal ehwal agama melakukan pemantauan serta penguatkuasaan mengikut lunas undang-undang,” katanya selepas menyampaikan bantuan pasca bencana banjir sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapiem) di sini semalam.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti dan sedang memantau rapi 14 ajaran sesat yang dikesan masih bergerak aktif termasuk Perjalanan Mimpi Yang Terakhir, Dewan Perkasa Ekonomi Islam, Millah Abraham, Nur Mutiara Mutmainnah dan The Ahmadi Religion of Peace and Light.

Zulkifli berkata, institusi hal ehwal agama Islam negeri dan Persekutuan seperti  Jabatan Mufti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sentiasa proaktif melakukan pencerahan terhadap isu ajaran sesat.

Beliau berkata, agensi sama memainkan peranan menonjolkan ajaran Islam sebenar untuk meningkatkan kefahaman rakyat sekaligus menguburkan dakyah ajaran-ajaran sesat.

“Kita juga bersinergi dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) Islam menangani isu ini dengan memberi pencerahan kepada masyarakat dari semasa ke semasa.

“Kita mahu Malaysia menjadi model negara Islam terbaik yang bertepatan dengan al-Quran dan Sunnah,  sederhana dan damai,” katanya.

Zulkifli berkata, penguatkuasaan terhadap Global Ikhwan Sdn. Bhd. (GISB) sebelum ini yang menunjukkan kesan positif menjadi iktibar dan contoh terbaik dalam menangani kes-kes lain seumpama dengannya.

Katanya,  kerajaan proaktif melaksanakan program advokasi kepada lapisan masyarakat, bukan sahaja berkaitan bahaya ajaran sesat, malah  menekankan keindahan Islam.

“Perkara paling penting ialah bagaimana kita menyampaikan ajaran Islam yang sebenar supaya semua ajaran sesat dapat dibanteras,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×