13 kem PLKN dibuka menjelang 2028, sasar 25,000 pelatih setahun

13 kem PLKN dibuka menjelang 2028, sasar 25,000 pelatih setahun

SEBAHAGIAN pelatih pada Majlis Pendaftaran PLKN 3.0 Siri 1 2026 di Kem Wataniah 505, Sungai Miang, di Pekan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bakal diperluas dengan pembukaan 13 pusat latihan menjelang 2028, berbanding hanya dua kem yang beroperasi ketika ini.

Dua kem sedia ada ialah Kem Wataniah 505 di Pekan di sini untuk pelatih lelaki dan Kem Wataniah 515 di Kuala Lumpur bagi pelatih wanita.

Pengarah Bahagian Operasi Latihan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Kolonel Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mazlizan Shaikh Osman berkata, tiga lagi kem baharu mula beroperasi tahun ini iaitu di Gemas, Negeri Sembilan; Bukit Keteri, Perlis dan Kluang, Johor.

“Selain itu, kem Malbatt di Port Dickson yang mampu menempatkan 800 pelatih turut bersedia digunakan bagi menampung keperluan dari semasa ke semasa.

“Dengan pembukaan kesemua kem di seluruh negara kecuali Melaka, program berkenaan dijangka mampu melatih 25,000 pelatih setiap tahun,” katanya pada Majlis Pendaftaran PLKN 3.0 Siri 1/2026 di Kem Wataniah 505 di sini.

Kira-kira 500 pelatih termasuk daripada Sabah dan Sarawak menyertai latihan PLKN 3.0 Siri 1 2026 yang memulakan pendaftaran hari ini.

Mazlizan berkata, kem di Gemas dan Bukit Keteri dibuka pada Julai depan manakala di Kluang pada Oktober ini.

Menurutnya, kem-kem dikenal pasti di seluruh negara dalam proses melengkapkan fasiliti dan kemudahan yang ada sesuai dengan pelaksanaan PLKN termasuk penginapan serta dewan makan.

Tambahnya, setiap kem PLKN boleh menempatkan 300 hingga 700 pelatih pada satu-satu masa melibatkan empat siri kursus yang akan dilaksanakan setiap tahun.

Sementara itu, beliau berkata, dalam memperkasa PLKN 3.0, pihaknya melakukan kajian penerimaan ibu bapa dan pelatih terhadap program tersebut dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS).  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×