10 tahun cari rezeki di sini - Jep tinggalkan Sinar FM

10 tahun cari rezeki di sini – Jep tinggalkan Sinar FM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelawak, Jep Sepahtu, mengumkan pengundurannya sebagai penyampai radio Sinar FM, hari ini.

Menerusi hantaran terbaharu di laman Instagram miliknya, Jep atau Mohd Nadzri Zainal Abidin, 39, menzahirkan rasa syukur atas peluang mencari rezeki di stesen berkenaan selama sedekad.

Menurut Jep, sepanjang tempoh 10 tahun tersebut, beliau telah melalui pelbagai fasa kehidupan yang mematangkan dirinya sebagai seorang insan dan anak seni.

“Alhamdulillah, dengan izin Allah, 10 tahun saya menumpang cari rezeki di sini. Dari zaman bujang, membawa ke alam perkahwinan, sehinggalah kini sudah dikurniakan cahaya mata.

“Terima kasih Sinar FM untuk segala jasa yang tidak terbalas,” tulisnya.

Dalam hantaran yang sama, teraju utama segmen pagi itu turut merakamkan penghargaan khas buat bekas majikannya, Shidah Khasim.

Jep menyifatkan hubungan mereka lebih daripada sekadar majikan dan pekerja, malah menganggap wanita tersebut sebagai kakaknya sendiri.

“Ini bekas bos saya. Saya menganggap dia seperti kakak saya sendiri kerana rasa hormat saya terhadapnya jauh lebih tinggi daripada jawatan yang disandangnya.

“Terima kasih atas segala kebaikan yang telah dilakukan untuk saya. Sampai jumpa lagi,” katanya lagi.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada peminat dan rakan artis yang rata-ratanya terkejut dengan perkhabaran tersebut.

Ruangan komen dibanjiri dengan ucapan selamat maju jaya dan penghargaan atas hiburan yang diberikan Jep sepanjang keudara di stesen berkenaan.

Bagaimanapun, setakat ini, pihak pengurusan Sinar FM mahupun Jep sendiri masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai hala tuju kerjayanya selepas ini.

Untuk rekod, Jep mula menyertai keluarga Sinar FM pada tahun 2016 dan berjaya meletakkan segmen pagi stesen tersebut sebagai antara pilihan utama pendengar di Malaysia menerusi gandingan mantap bersama rakan penyampai yang lain. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN