Zizie akui hilang arah selepas pemergian Bung Moktar

Zizie akui hilang arah selepas pemergian Bung Moktar

BUNG Moktar Radin bersama isterinya, Datin Seri Zizie Izette.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isteri Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad mengakui hilang arah selepas pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan itu, semalam.

Zizie, 47, meluahkan rasa dukacita selepas kehilangan suami tercinta menerusi hantaran di media sosial malam tadi.

“Malam ini, saya rasa benar-benar hilang arah, berharap saya punya sedikit lagi masa untuk memeluknya, memberitahu betapa dia sangat bermakna buat saya.

“Mengucapkan terima kasih dengan seikhlas hati atas segala yang telah dia lakukan untuk keluarga kami,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Menerusi hantaran itu, Zizie memohon diberi ruang untuk meratapi pemergian suaminya yang disifatkan sebagai seorang bapa yang sangat baik dan insan yang pemurah.

“Inilah dia, seorang yang selalu mengalah dengan anak-anak dan membahagiakan mereka atau orang sekeliling.

“Berhati mulia dan suka bersedekah. Seorang yang sentiasa menjaga solat dan sentiasa bertasbih walau di mana dia berada tak lekang dengan zikir di bibir,” tulisnya.

Hantaran tersebut turut disertai gambar kenangan Allahyarham Bung Moktar yang kelihatan ceria bersama anak-anak.

Zizie dan Bung Moktar men­dirikan rumah tangga pada 2009 dan sejak itu hubungan mereka dipenuhi memori serta soko­ngan antara satu sama lain.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 1.46 pagi semalam di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.

Berita sedih pemergian di­kongsi anak Allahyarham, Naim Kurniawan Moktar melalui hantaran di Facebook.

Allahyarham Bung Moktar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas, Sabah pada pukul 2.25 petang semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN