Zambry serahkan sepenuhnya kepada UMNO usul tergempar MIC

Zambry serahkan sepenuhnya kepada UMNO usul tergempar MIC

ZAMBRY Abd. Kadir sewaktu berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan institusi pengajian tinggi awam serta swasta di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menyerahkan sepenuhnya kepada UMNO berhubung usul tergempar berkaitan pengeluaran MIC daripada gabungan itu yang dijangka dibawa pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa UMNO dan akan dijawab oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

“Kita serahkan kepada Setiausaha Agung UMNO (untuk jawab),” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan institusi pengajian tinggi awam serta swasta di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, UMNO mungkin akan mengemukakan usul ter­gempar pada PAU 2025 bagi mem­bincangkan pengeluaran MIC daripada Barisan BN susulan pertelagahan yang berlaku antara kedua-dua parti itu.

Usul berkenaan dijangka di­ba­wa pada PAU yang dijadual ber­langsung pada Januari tahun ha­dapan, berikutan isu tersebut di­anggap sebagai perkara baharu yang timbul selepas Me­syuarat Agung UMNO Bahagian selesai diadakan.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr. Mohd. Zaidi Md. Zain berkata, kemungkinan usul tergempar itu dibentangkan adalah tinggi kerana isu MIC tidak pernah dibangkitkan di peringkat bahagian sebelum ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bangi berkata, sekiranya usul berkenaan dibawa ke PAU, ia dijangka menerima reaksi yang keras dan segera daripada perwakilan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN