SHAH ALAM: Penyanyi, Yunalis Zarai, terus mengukuhkan jejak kreatifnya apabila bekerjasama dengan komposer pemenang Anugerah Grammy ke-66, Olmo Zucca, bagi penghasilan tiga lagu dalam mini album terbaharunya, The Valour Hour.
Menurut Yuna atau Yunalis Mat Zara’ai, 39, kolaborasi itu lahir daripada hubungan persahabatan yang terjalin sejak beberapa tahun lalu, sebelum Olmo meraih perhatian global menerusi lagu Water nyanyian Tyla yang memenangi kategori Best African Music Performance pada Anugerah Grammy 2024.
“Saya bertuah kerana pernah bekerja dengannya ketika beliau masih baharu dalam bidang muzik. Dari situ, kami berkawan dan terus berkongsi idea kreatif.
“Sama seperti ketika beliau menghasilkan lagu untuk Tyla, ketika itu pun beliau masih bertatih sebagai penerbit. Kami sudah pun bekerjasama dalam tiga lagu sewaktu saya berada di Los Angeles, termasuk dalam mini album sebelum ini, Wasting Away.
“Kali ini, kami sambung kerjasama untuk The Valour Hour, namun stail EP ini lebih kembali kepada R&B. Olmo sendiri teruja apabila saya kembali kepada genre itu, begitu juga peminat saya yang biasa dengan lagu Crush,” katanya.
Yuna ditemui Utusan Malaysia di The Diagram Cafe, di sini, baru-baru ini.
Mini album The Valour Hour memuatkan lima lagu, tiga daripadanya diterbitkan Olmo iaitu Believer, Ready to Move dan Sky’s the Limit. Dua lagi lagu ialah If You Don’t Love Me yang diterbitkan Yuna sendiri, manakala Wasteland dihasilkan pemuzik berbakat tanah air, Kuizz Shah.
Mengulas proses pembikinan album, Yuna yang kini kembali menetap di Malaysia berkata, tiga lagu dihasilkan sepenuhnya secara dalam talian bersama Olmo, walaupun berdepan perbezaan zon masa.
“Saya hantar semua fail secara dalam talian dan kami berbincang melalui Zoom. Olmo sangat ‘cool’ dan profesional walaupun kami bekerja dalam keadaan zon masa berbeza.
“Biasanya saya mula bekerja sekitar 11 pagi waktu Malaysia, bersamaan kira-kira 7 malam di Los Angeles. Walaupun mencabar, ia pengalaman yang menarik,” ujarnya.
Sempena pelancaran mini album yang dijangka menemui pendengar bulan hadapan, Yuna turut mengumumkan penganjuran konsert The Valour Hour pada 7 Februari 2026 di Zepp Kuala Lumpur.
“Saya pernah dua kali membuat persembahan di Zepp Kuala Lumpur dan saya percaya ia lokasi yang sesuai untuk konsert ini.
“Konsert tersebut akan menampilkan persembahan istimewa termasuk lagu-lagu dari mini album baharu serta karya terdahulu saya. Temanya lebih ‘moody’, namun tetap memberi inspirasi,” katanya.
Tiket konsert akan mula dijual pada 8 Disember untuk ahli Yunationals (peminat setia), pra-jualan pada 9 Disember, dan dibuka kepada umum bermula 11 Disember. – UTUSAN










