Xiamen Airlines sambung semula laluan terus Hangzhou–Kuala Lumpur - Utusan Malaysia

Xiamen Airlines sambung semula laluan terus Hangzhou–Kuala Lumpur

PENERBANGAN sulung itu mendapat sambutan rasmi oleh Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim (tujuh dari kanan) dan Encik Samuel Lee (lapan dari kanan) bersama pengurusan perlancongan Malaysia dan MAHB serta Xiamen Airlines dan disertai Maskot Tourism Malaysia, Wira dan Manja semasa pelancaran laluan Hangzhou–Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Xiamen Airlines telah menyambung semula perkhidmatan penerbangan terus Hangzhou–Kuala Lumpur, sekali gus memperkukuh kesalinghubungan udara antara Malaysia dan China.

Penerbangan MF8713 selamat mendarat di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 2.45 petang, menandakan kembalinya laluan tersebut selepas digantung operasinya pada 2018.

Laluan berkenaan dikendalikan menggunakan pesawat Boeing 737-800 dengan kapasiti 169 tempat duduk dan dijangka meningkatkan akses dari wilayah timur China, khususnya Hangzhou serta kawasan sekitarnya.

Tourism Malaysia berkata, laluan strategik itu menyokong pertumbuhan sektor pelancongan, memudahkan perjalanan perniagaan serta menggalakkan pertukaran budaya antara kedua-dua negara.

Majlis sambutan rasmi penerbangan tersebut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, Samuel Lee Thai Hung, Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia/Afrika), Tourism Malaysia, Nuwal Fadhilah Ku Azmi, Pengurus Besar Xiamen Airlines, Gao Ya Shuang serta wakil Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Samuel Lee berkata, penyambungan semula laluan itu meningkatkan kesalinghubungan antara China Timur dan Malaysia serta memudahkan pergerakan pelancong dari negara berkenaan.

“Laluan ini bukan sahaja memudahkan perjalanan pelancong China ke Malaysia, malah mengukuhkan lagi kerjasama pelancongan dan ekonomi antara kedua-dua negara. 

“Penyambungan semula laluan tersebut hadir pada masa yang strategik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), sekali gus meningkatkan aksesibiliti pelancong China untuk menikmati kepelbagaian produk pelancongan Malaysia.

“Kempen VM2026 akan bermula secara rasmi dengan Sambutan Malam Ambang VM2026 di Kuala Lumpur pada 31 Disember 2025 yang menampilkan pelbagai acara termasuk upacara undur detik, festival serta persembahan kebudayaan,” katanya dalam kenyataan. 

Tambahnya, kerajaan menyasarkan kemasukan 47 juta pelawat antarabangsa selain merancakkan pelancongan domestik menerusi kempen berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia merekodkan ketibaan 3.3 juta pelawat dari China bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, meningkat 27.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus mencerminkan daya tarikan berterusan Malaysia dalam pasaran China. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN