Warga SK Banggu bersihkan sekolah dilanda banjir

Warga SK Banggu bersihkan sekolah dilanda banjir

Kawasan SK Banggu yang turut dipenuhi air banjir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hujan lebat yang bermula sejak Sabtu pada 22 November lalu menimbulkan kebimbangan besar kepada warga Sekolah Kebangsaan (SK) Banggu, Kota Bharu, Kelantan.

Keadaan tersebut bukan sesuatu yang asing, memandangkan sekolah tersebut terletak di kawasan rendah, dikelilingi sungai di bahagian belakang dan sawah padi di hadapan yang kerap ditenggelami air.

Namun setiap kali musim tengkujuh tiba, ancaman banjir tetap menjadi igauan ngeri kepada seluruh warga sekolah berkenaan.

Pada hari berikutnya, keadaan bertambah merisaukan apabila laluan utama ke sekolah ditenggelami air sepenuhnya.

Pihak sekolah segera mengisytiharkan cuti dan murid diarahkan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Walaupun suasana di sekolah menjadi hening tanpa suara murid, namun seluruh warga sekolah terus bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan buruk.

Ibu bapa pula turut meluahkan rasa bimbang terhadap keselamatan anak-anak sekiranya banjir semakin teruk.

Guru-guru yang tinggal berhampiran sekolah segera hadir untuk membantu menyelamatkan aset penting sekolah.

Antara lokasi utama yang diberi perhatian ialah bilik Rancangan Makanan Tambahan (RMT), bilik buku teks, makmal sains, serta surau sekolah.

Usaha menyelamatkan peralatan dan bahan pendidikan bukan sekadar kerja mengalihkan barang, tetapi memerlukan perancangan teliti supaya tiada buku, komputer atau bahan eksperimen rosak ditenggelami air.

Beberapa orang guru bersama lima pekerja sekolah sanggup bekerja dari pagi sehingga malam bagi memastikan keselamatan dan perkembangan keadaan sekolah dipantau rapi.

Mereka bertungkus-lumus memastikan semua peralatan dipindahkan ke tempat tinggi, demi kemudahan 700 murid yang menuntut di SK Banggu.

Komitmen mereka jelas membuktikan bahawa tugas seorang pendidik bukan hanya mengajar, tetapi juga menjaga amanah sekolah walau dalam keadaan sukar.

Guru Besar SK Banggu, Md Roslan Mohamad, berkata bahawa inilah hakikat yang
terpaksa ditempuhi saban tahun. Menurutnya, guru-guru sudah cukup faham dan cekap menguruskan situasi banjir. Walaupun laluan ke sekolah ditenggelami air, semangat mereka tidak pernah luntur.

Ada yang sanggup mengharungi air separas pinggang semata-mata mahu sampai ke sekolah bagi menyelamatkan barang-barang berharga.

Guru-guru juga sentiasa menerima laporan semasa daripada pengawal keselamatan dan pekerja sekolah bagi memantau paras air.

Setiap keputusan diambil berdasarkan maklumat terkini supaya keselamatan murid, guru dan aset sekolah sentiasa terjamin. Antara momen yang paling menarik perhatian adalah apabila seorang guru hadir ke sekolah menaiki kereta gala padi, satu pemandangan yang jarang berlaku tetapi menjadi bukti ketabahan mereka.

Keadaan sedikit pulih pada hari Selasa, membolehkan guru-guru kembali ke sekolah untuk melakukan kerja-kerja pembersihan. Walaupun ada yang terkandas di tepi jalan akibat air masih tinggi, usaha mereka tetap diteruskan.

Ramai guru turut berhadapan situasi sukar kerana rumah sendiri terjejas banjir, namun mereka tetap mengutamakan persiapan sekolah demi memastikan sesi persekolahan dapat dibuka semula.

Aktiviti pembersihan merangkumi mengeringkan dan menyusun semula buku yang basah, membersihkan makmal, bilik RMT, surau, serta kantin.

Pada masa yang sama, penduduk kampung turut datang ke kawasan sekolah untuk melihat keadaan banjir.

Ada yang menjadikannya seakan pesta kecil sambil merakam gambar sekolah di dalam air, namun suasana itu juga menggambarkan solidariti masyarakat setempat yang saling membantu.

Terdapat juga guru yang terpaksa menumpang kenderaan berat milik penduduk kampung untuk sampai ke sekolah. Walaupun perjalanan itu mencabar, mereka menganggapnya pengalaman yang mengajar nilai kesabaran dan keberanian.

Pada hari Rabu, sekolah kembali dibuka meski pun air banjir masih belum surut sepenuhnya.

Walaupun kehadiran murid agak membimbangkan kerana ramai masih terjejas, pihak sekolah tetap memuji komitmen murid yang hadir.

Mereka meneruskan pembelajaran walaupun dalam keadaan kurang selesa, termasuk belajar di atas tikar. Semangat mereka membuktikan bahawa pendidikan tetap menjadi keutamaan walaupun alam menguji.

Situasi sekolah di dalam air ini bukan sahaja memberikan pengalaman unik kepada murid, tetapi juga mengajar mereka tentang nilai kerjasama, pengorbanan dan ketabahan.

Guru-guru berkongsi pengalaman bahawa menghadapi banjir adalah tanggungjawab tahunan yang menuntut dedikasi tinggi.

Pengalaman mengharungi banjir selama lima hari itu pastinya menjadi antara kenangan paling getir, namun juga paling bermakna bagi warga SK Banggu.

Banjir mungkin menenggelamkan kawasan sekolah, tetapi tidak mampu menenggelamkan semangat mereka. Kesungguhan dan perpaduan seluruh warga sekolah menjadi simbol kekuatan komuniti dalam memastikan pendidikan generasi muda terus berjalan walau diuji hebat oleh alam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN