BUTTERWORTH : Seorang wanita dan seorang remaja perempuan bawah umur mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan penyeludupan terhadap lima warga asing dari Myanmar, awal bulan ini.
Tertuduh, Umi Kalsom Abidin, 29, dan remaja terbabit yang berusia 17 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Turut dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan yang sama ialah seorang lelaki warga Myanmar iaitu Kyaw Zin Lin, 19. Bagaimanapun, pertuduhan terhadap lelaki tersebut tidak dibaca kerana tiada khidmat jurubahasa Myanmar ketika itu.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama seorang lagi individu yang masih bebas, dengan niat bersama telah menjalankan aktiviti penyeludupan migran melibatkan lima warga Myanmar di tempat letak kereta berhadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bukit Mertajam, dalam daerah Seberang Perai Tengah, pada pukul 6.40 petang, 2 Disember lalu.
Atas kesalahan itu, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun manakala salah seorang daripada tertuduh iaitu Zin Lin diwakili peguam, K. Puvirajan.
Ketika prosiding, Siti Nur Amalina bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon tarikh baharu untuk sebutan semula kes sementara menunggu kehadiran jurubahasa Myanmar.
Mahkamah kemudian menetapkan 13 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan jurubahasa Myanmar hadir ke mahkamah selain tidak membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin.
Difahamkan, wanita dan remaja perempuan itu berperanan sebagai ‘transporter’ atau penghantar manakala lelaki warga Myanmar yang turut ditahan itu pula dipercayai bertindak sebagai ejen sindiket berkenaan.










