Usah tunduk desakan iktiraf UEC

Usah tunduk desakan iktiraf UEC

MOHD. WAFIYUDDIN AL-AWAL MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan tidak seharusnya tunduk kepada tekanan politik yang mendesak pengiktirafan diberi kepada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Selain bercanggah dengan Akta Pendidikan 1996, dasar pendidikan tidak boleh ditentukan oleh tuntutan berkepenti­ngan politik yang tidak mengambil kira kepentingan nasional dan masa depan gene­rasi muda.

Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd. Wafiyuddin Al-Awal Musa berkata, UEC yang diperke­nal oleh Dong Jiao Zong pada 1975 adalah peperiksaan yang menggunakan silibus sendiri dan beroperasi di luar kerangka sistem pendidikan kebangsaan.

“UEC menggunakan silibus sendiri dan mewujudkan jurang antara sistem kebangsaan dengan sistem peperiksaan yang dikendalikan oleh sebuah pertubuhan berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (ROS) dan bukan badan penilaian negara seperti Lembaga Peperiksaan Malaysia atau Majlis Peperiksaan Malaysia.

“Pengiktirafan UEC bukan sahaja menjejaskan penyelarasan sistem pendidikan negara tetapi meruntuhkan asas penyatuan pendidikan yang telah lama menjadi prinsip utama pembangunan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Mohd. Wafiyuddin berkata, pengiktirafan akan mengabsahkan pemisahan pendidikan mengikut garis perkauman yang bertentangan dengan aspirasi penyatuan nasional diasaskan oleh sistem sekolah kebangsaan.

Katanya, ia membawa risiko melemahkan kedudukan bahasa rasmi negara dalam sektor awam, institusi pendidikan tinggi, dan ruang mobiliti sosial generasi negara.

“Dari segi standard akademik dan akses ke institusi pe­ngajian tinggi awam (IPTA), UEC tidak memenuhi keperluan asas kemasukan yang berdasarkan kurikulum negara, penggunaan bahasa Melayu serta kelulusan subjek wajib seperti Sejarah dan Bahasa Melayu pada tahap setara Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Pengiktirafan UEC akan menjejaskan prinsip meritokrasi serta mengakibatkan ketidakadilan kepada pelajar yang mengikuti sistem kebangsaan yang jauh lebih ketat dari segi kurikulum, pentaksiran dan pengawalseliaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN