Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju teknologi kuantum negara apabila memeterai satu kerjasama strategik berimpak tinggi dengan National Institute of Advanced Industrial Science and Technology (AIST), Jepun, antara institusi penyelidikan terkemuka dunia dalam bidang kuantum dan kecerdasan buatan (AI).
Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh berkata, pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan AIST adalah lonjakan besar yang menandakan pengiktirafan antarabangsa terhadap kemampuan UKM sebagai institusi yang memacu pembangunan teknologi kuantum di Malaysia.
Dokumen persefahaman itu ditandatangani oleh Sufian bagi pihak UKM dan Pengarah Global Research and Development Center for Business by Quantum-AI Technology (G-QuAT), bagi pihak AIST, Prof. Dr. Masu Kazuya.
Turut hadir adalah Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
“UKM amat menghargai kepercayaan AIST. Kerjasama ini mengiktiraf UKM sebagai pemain utama dalam membangunkan ekosistem kuantum negara.
Ia bukan sahaja mengukuhkan kepakaran penyelidikan, malah membuka laluan luas kepada pemindahan teknologi, pembangunan modal insan dan inovasi masa depan,” kata Sufian.
Sufian berkata, kerjasama UKM-AIST akan menjadi pemangkin kepada tiga teras utama pembangunan kuantum negara iaitu pemindahan pengetahuan dan teknologi secara langsung daripada pakar global, pemerkasaan keupayaan penyelidikan dalam kuantum dan AI, menjadikan UKM pusat rujukan serantau; pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, melalui latihan, penyelidikan bersama dan pendedahan kepada teknologi kuantum generasi baharu.
“Inisiatif jangka panjang ini bakal menjadi penanda aras baharu kepada hubungan universiti-industri dan meletakkan Malaysia pada landasan kukuh sebagai hab kuantum serantau,” ujarnya. – UTUSAN










