UiTM terajui misi bersejarah ASEAN ke angkasa lepas

UiTM terajui misi bersejarah ASEAN ke angkasa lepas dengan UiTM SAT-2

GAMbar pelancaran nanosatelit kedua Universiti Teknologi Mara (UiTM) iaitu UiTMSAT-2, ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Universiti Teknologi Mara (UiTM) sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya melancarkan nanosatelit keduanya, UiTMSAT-2, ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menerusi misi HTV-X1 yang dilancarkan menggunakan roket H3 F7 dari Tanegashima Space Center, Jepun, baru-baru ini.

Pelancaran bersejarah itu, disiarkan secara langsung oleh Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA), menandakan satu detik penting bagi Malaysia dan ASEAN apabila UiTM mengetuai misi satelit serantau pertama yang dibangunkan di bawah inisiatif ASEANSAT.

Kenderaan HTV-X1 dijangka berlabuh dengan ISS dalam tempoh 48 hingga 72 jam sebelum UiTMSAT-2 ditempatkan di orbit rendah Bumi (LEO) pada suku pertama tahun 2026.

UiTMSAT-2 menjadi nanosatelit pertama yang direka, dibangunkan dan diterajui oleh sebuah universiti ASEAN, sekali gus mengangkat UiTM sebagai peneraju serantau dalam pembangunan teknologi angkasa dan diplomasi saintifik.

Misi itu adalah kemuncak kepada program ASEANSAT, sebuah inisiatif kerjasama yang diterajui UiTM sejak 2021 dengan penyertaan University of Perpetual Help System DALTA (Filipina) dan King Mongkut’s University of Technology North Bangkok (Thailand), serta bimbingan teknikal berterusan daripada Kyushu Institute of Technology (Kyutech), Jepun.

UiTMSAT-2 merupakan kesinambungan kejayaan UiTMSAT-1 yang dilancarkan pada 2018. Jika misi pertama menandakan Malaysia sebagai peserta global dalam penyelidikan nanosatelit, misi kedua itu meletakkan UiTM sebagai pereka utama dan peneraju projek antarabangsa.

Menurut Penasihat Utama Projek, Prof. Ir. Dr. Mohamad Huzaimy Jusoh, UiTM kini mencapai tahap kematangan dalam reka bentuk sistem satelit sepenuhnya, selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi peneraju teknologi angkasa ASEAN menjelang 2030.

Ketua Projek Ts. Dr. Fatimah Zaharah Ali pula berkata, UiTMSAT-2 bukan sekadar pelancaran satelit, tetapi lambang keupayaan UiTM melahirkan penyelidik muda yang mampu memimpin projek antarabangsa, hasil bimbingan dan pelaburan strategik jangka panjang universiti.

Pembiayaan projek tersebut diperoleh melalui Dana Kolaborasi Antarabangsa (ICF) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjumlah RM500,000, dengan tambahan RM20,000 daripada Dana Perkongsian Penyelidikan Strategik (SRP) UiTM.

Sokongan turut diberikan oleh rakan kerjasama serantau – Filipina melalui sumbangan kewangan USD40,000 dan Thailand menerusi bantuan peralatan serta kepakaran teknikal.

Kerjasama strategik dengan Agensi Angkasa Malaysia (MySA) turut memperkukuh hala tuju misi ini, melibatkan nasihat polisi, pengesahan spesifikasi teknikal dan bimbingan teknokratik bagi memastikan misi mematuhi piawaian antarabangsa.

UiTMSAT-2 ialah satelit CubeSat 1U (10×10×11.35 cm, 1.1 kg) yang membawa kamera beresolusi tinggi dan sistem Internet of Things (IoT) berasaskan komunikasi satelit.

Antara objektif utama misi termasuk:
*Pemerhatian Bumi dan aplikasi IoT berasaskan angkasa untuk pertanian pintar dan pengurusan bencana;
* Fungsi Store-and-Forward bagi penghantaran data penderia dari kawasan terpencil; dan
*Pembangunan kapasiti serantau bagi melatih pelajar dan penyelidik ASEAN dalam teknologi hiliran angkasa.

Selepas pelabuhan HTV-X1 di ISS, UiTMSAT-2 akan dilancarkan dari Japanese Experiment Module (JEM) menggunakan JEM Small Satellite Orbital Deployer (J-SSOD) pada suku pertama 2026.

Proses pelepasan ini akan turut disiarkan secara langsung oleh JAXA, menandakan penyertaan rasmi UiTM dalam senarai elit lebih 100 nanosatelit yang pernah dikeluarkan melalui program J-SSOD.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc., menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh pasukan penyelidik, jurutera dan pelajar yang terlibat dalam pembangunan UiTMSAT-2 serta program ASEANSAT.

“Pencapaian ini bukan sekadar kejayaan sains dan teknologi, tetapi simbol kekuatan UiTM dalam melahirkan bakat global dan memacu penyelidikan berimpak tinggi. UiTMSAT-2 membuktikan bahawa universiti tempatan mampu menjadi peneraju rantau ini dalam bidang angkasa dan inovasi masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN