Ubah suai nombor kenderaan sukarkan usaha menjejaki penjenayah

Ubah suai nombor kenderaan sukarkan usaha menjejaki penjenayah

LEE LAM THYE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan mengubah suai nombor pendaftaran secara melampau dan mengelirukan dilihat akan menyukarkan pihak berkuasa menjejaki penjenayah.

Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, perbuatan mempamerkan nombor pendaftaran mengelirukan bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menyukarkan agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kesukaran akan timbul  apabila kenderaan digunakan untuk tujuan jenayah atau pelanggaran peraturan jalan raya.

“Banyak kejadian ragut dan pecah rumah gagal diselesaikan kerana kesukaran mengesan pelaku yang menggunakan nombor pendaftaran mengelirukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menyokong penuh tindakan JPJ melalui Bahagian Penguatkuasa JPJ.

“Selain itu langkah Mahkamah Majistret Kajang mendakwa pesalah trafik yang mengubah suai dan mempamerkan nombor pendaftaran mengelirukan juga merupakan tindakan yang sepatutnya dikenakan.

“Tindakan menyaman dan mendakwa pesalah di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, dengan denda minimum RM5,000 hingga maksimum RM10,000 adalah tepat dan wajar,” jelasnya.

Menurutnya, langkah tegas dan berterusan JPJ penting bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan masyarakat.

“Ia juga merupakan pengajaran kepada pemandu agar lebih bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan JPJ mengambil tindakan tegas ke atas kesalahan penggunaan nombor pendaftaran ‘fancy’ dan mengelirukan di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pihaknya telah mengambil tindakan berkenaan kes ini selain mendapatkan pandangan Timbalan Pendakwa Raya (TPR)

Beliau berkata pemilik kenderaan yang menggunakan nombor ‘fancy’ ekstrem akan disaman di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu mempamerkan nombor pendaftaran yang mengelirukan.

Jelasnya, kes itu dibawa ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman minimum RM5,000 dan boleh mencecah RM10,000.

Ujar beliau, pihaknya mendapati sejak akhir-akhir ini banyak motosikal dan kereta menggunakan nombor ekstrem hingga mengelirukan agensi penguat kuasa lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN