HARI ini adalah hari terakhir tempoh remedi yang diberikan Kerajaan Negeri Terengganu kepada FGV Holdings Bhd. (FGV) untuk mengalihkan aset dan mengosongkan premis di ladang-ladangnya seluas kira-kira 15,000 hektar.
Ia berikutan tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap ladang-ladang FGV dengan penyampaian Notis Amaran Pendudukan Secara Tidak Sah mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Notis 425 KTN) pada 30 November lalu, sebelum dilanjutkan tiga hari lagi bermula 4 Disember lepas.
Tempoh remedi merujuk kepada memperbetul keadaan yang memberi FGV peluang untuk mengalihkan aset mereka sebelum sebarang tindakan sitaan diambil. Selain aset boleh alih seperti lori, FGV turut memindahkan anak pokok sawit dari ladang ke lokasi lain buat sementara waktu seperti di pekarangan pejabat Felda Bukit Bading, Ajil di Hulu Terengganu.
Namun, Kerajaan Negeri Terengganu sedia mempertimbang melanjutkan lagi tempoh remedi itu jika perbincangan mengenai isu berkenaan dengan FELDA dan FGV menunjukkan hasil positif. Perbincangan itu disambung malam tadi selepas pertemuan pertama petang kelmarin di Putrajaya.
Ia bermakna proses sitaan tidak akan berlaku dalam tempoh ini walaupun Notis 425 KTN masih berkuat kuasa sehingga adanya penyelesaian muktamad dicapai antara kedua-dua belah pihak. – UTUSAN










