PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong menegaskan bahawa isu pertukaran portfolio baharu beliau tidak seharusnya dilihat sebagai penurunan pangkat atau ‘downgrade’.
Sebaliknya, beliau berkata, tumpuannya kini adalah untuk terus memperkukuh sektor keusahawanan dan koperasi negara.
“Yang utama adalah untuk bantu tingkatkan keupayaan perniagaan rakyat Malaysia. Itu fokus utama saya,” katanya menerusi sidang akhbar selepas sesi taklimat korporat bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di sini hari ini.
Terdahulu, Steven Sim bersama Datuk Mohamad Alamin mengimbas cap jari mereka bagi memulakan tugas masing-masing sebagai menteri dan timbalan menteri KUSKOP.
Menerusi rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Steven Sim yang sebelum ini menerajui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dilantik memegang portfolio baharu sebagai Menteri KUSKOP.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan bekas menteri KUSKOP, Tan Sri Noh Omar, Steven berkata, prinsip kepimpinannya sentiasa berteraskan keadilan dan pembelaan kepada semua rakyat di negara ini tanpa mengira kaum dan agama.
Menurut ahli Parlimen Bukit Mertajam itu, beliau menghormati semua bekas menteri tanpa mengira latar belakang parti, namun berpandangan masih ada yang salah faham terhadap nilai dan prinsip yang dipegangnya selama ini.
Beliau Sim berkata, pendekatan inklusif yang dilaksanakan olehnya telah dibuktikan ketika beliau menerajui KESUMA sebelum ini, di mana pembelaan terhadap warga pekerja dilaksanakan secara menyeluruh tanpa diskriminasi. – UTUSAN










