Tujuh PBT di Perak terima penarafan bandar pintar - Utusan Malaysia

Tujuh PBT di Perak terima penarafan bandar pintar

SAARANI Mohamad (tengah) merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) tahun 2025 Peringkat Negeri Perak di Kampar semalam. -UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Tujuh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini menerima penarafan Bandar Pintar manakala lapan lagi disasarkan mencapai status sama tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, sasaran berkenaan seiring dengan Pelan Tindakan Bandar Pintar Negeri Perak 2040.

“Ada lapan lagi PBT yang disasarkan untuk dijadikan Bandar Pintar termasuk Majlis Daerah Lenggong, Majlis Daerah Gerik dan Majlis Daerah Pengkalan Hulu.

“Ia juga adalah pekara yang digariskan dalam Belanjawan Perak 2026, “ katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2025 Peringkat Negeri Perak di Dewan Bandaran Kampar di sini semalam.

Majlis dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad. Turut hadir Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk Dr. Alias Rameli.

Sementara itu, Saarani berkata, 15 pihak berkuasa tempatan mencapai status bandar mampan dengan purata markah 94.90 peratus berbanding 91.50 peratus pada tahun lalu.

“Ini membuktikan kemajuan yang signifikan dalam pengurusan kebersihan bandar, penyenggaraan infrastruktur, ruang awam dan kesejahteraan komuniti.

“Namun, pencapaian ini tidak harus menjadi penamat kerana rakyat sentiasa mengharapkan perkhidmatan yang lebih cekap dan responsif,” katanya.

Menurutnya, matlamat utama adalah untuk memastikan rakyat menikmati ruang hidup yang berkualiti.

“Kita mahu melihat perumahan yang selesa, kawasan kediaman yang tersusun, jaringan pengangkutan yang cekap, ruang rekreasi yang selamat dan peluang ekonomi yang lebih luas.

“Semua ini memerlukan perancangan yang teliti, penyelarasan yang mantap serta pelaksanaan yang berdisiplin,” katanya.

Ujarnya, perancangan bandar mempunyai peranan besar dalam membentuk masa depan anak muda.

“Kita mahu mereka membesar dalam persekitaran yang memberi inspirasi, penuh peluang dan mempunyai kemudahan yang menyokong perkembangan potensi diri,” katanya.

Saarani berkata, bandar yang dirancang dengan baik akan menjadi ruang hidup yang memupuk kreativiti, memudahkan pembelajaran dan memberi peluang pekerjaan yang lebih meluas.

“Ini adalah pelaburan jangka panjang negeri untuk memastikan generasi akan datang hidup dalam suasana yang lebih makmur dan harmoni,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN