KUALA TERENGGANU: Kemunculan 75 guru silat atau Tok Dekor di tengah-tengah ikon budaya Terengganu, Pasar Payang di sini, bukan sahaja mencuri tumpuan malah menjadi simbolik terhadap usaha berterusan memartabatkan seni warisan bangsa.
Himpunan Tok Dekor Terengganu itu sempena Festival Payang Tengkujuh di Laman Pasar Payang yang berlangsung selama lima hari bermula 25 Disember lalu.
Seorang peminat seni silat, Asyraf Zaib, 27, berkata, dia teruja melihat ramai perguruan silat dari seluruh negeri ini berhimpun dalam satu festival sekali gus memartabatkan silat, membina sahsiah dan memperkukuh jati diri Melayu Islam.
“Penganjuran ini mampu memberi peluang semua penggiat seni mempertahankan diri ini mempelajari dan bertukar idea mengenai pelbagai teknik dan gaya persilatan.
“Ia juga menjadi wadah persaudaraan dan mempromosi seni silat sebagai warisan turun-temurun yang kaya dengan nilai sejarah serta kebersamaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim yang merasmikan acara tersebut berkata, penyertaan besar itu turut diserikan dengan kehadiran pesilat dari luar negeri Terengganu, sekali gus membuktikan seni silat masih kukuh dan terus dihormati sebagai warisan bangsa.
“Ia jelas membuktikan bahawa seni silat terus dihormati sebagai warisan perjuangan Melayu Islam yang menyatukan generasi, memperkukuh disiplin dan membina akhlak,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran himpunan tersebut turut menghidupkan kembali warisan tradisi rakyat Terengganu yang sarat dengan nilai sejarah, jati diri dan kebersamaan masyarakat.
Katanya, seni silat perlu terus dipulihara dan dimartabatkan sebagai sebahagian daripada identiti negeri.
“Silat bukan sekadar seni gerak tetapi lambang jati diri bangsa, wadah pembinaan sahsiah serta benteng mempertahankan Islam, adat dan kedaulatan negeri,” katanya.-UTUSAN










