Menjadi murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) tidak menghalang mereka menguasai pentas pertandingan apabila 78 murid tampil bersaing dalam kategori tilawah, hafazan dan bercerita di peringkat Wilayah Persekutuan baru-baru ini.

Program anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan itu disertai tujuh murid sekolah rendah dan enam sekolah menengah seluruh Putrajaya.
Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas, Mohd. Azrani Asran berkata, program tersebut memberi peluang kepada murid PPKI menonjolkan pencapaian sebenar mereka dalam tilawah, hafazan dan bercerita.
“Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) yang kita jalankan setiap tahun ini mengumpulkan murid-murid berkeperluan pendidikan khas yang berupaya untuk bertanding bagi melihat bagaimana penguasaan bacaan al-Quran, hafazan dan bercerita,” katanya ketika ditemui Utusan Pelajar.
Beliau ditemui selepas majlis perasmian pertandingan Tilawah Khatam Quran Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Sekolah Kebangsaan Presint 8(2) Putrajaya baru-baru ini, yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.

Menurutnya, perkembangan yang ditunjukkan murid amat membanggakan, malah ada murid pendidikan khas sebelum ini pernah menjuarai pertandingan di peringkat kebangsaan.
“Kita lihat potensi murid-murid ini sangat tinggi dan sangat baik. Kita berharap pencapaian itu dapat kita ulang pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Tambahnya, kejayaan murid adalah hasil usaha bersama guru dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa serta keluarga murid PPKI.
“Kemajuan anak-anak pendidikan khas ini sebenarnya 70 peratus datang daripada ibu bapa dan keluarga. Sokongan mereka sangat penting.
“Di sekolah, kita menyediakan kemudahan, modul, latihan dan bantuan pakar, tetapi dorongan keluarga menjadi tunjang utama mereka berupaya untuk maju ke tahap ini,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, program tersebut tidak lagi dianjurkan sejak 2021, namun inisiatif Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah-sekolah Malaysia bersama jabatan-jabatan lain meneruskan semula MTQ Pendidikan Khas 2025 bagi memastikan bakat istimewa terus digilap dan dipupuk.

Tambahnya, tema kategori bercerita tahun ini menampilkan kelainan dengan mengangkat elemen Hadis 40 sebagai tema utama.
“Perubahan ini dilakukan selepas beberapa tahun kategori bercerita lebih tertumpu kepada kisah-kisah kesejahteraan al-Quran dan pembaharuan ini dilihat berjaya memperkaya penguasaan murid terhadap aspek hadis,” katanya.
Pada masa sama, katanya, guru-guru turut diberi latihan berkala dan panduan khusus untuk membantu murid menguasai modul al-Quran, dengan sokongan pakar dari Pusat Pendidikan Khas bagi menangani cabaran pembelajaran.
Dalam pertandingan tersebut, Hilman Shakir Mohamad Shahir daripada SKPP 18(1) muncul Johan Tilawah Rendah Lelaki, manakala Nurin Zuqrina Begam Abdul Razak dari SKPP 8(2) dinobatkan Johan Tilawah Rendah Perempuan.
Bagi peringkat menengah, Muhammad Al-Amin Muhammad Kamal dari SMKPP 11(1) dipilih Johan Tilawah Lelaki, sementara Mawar Umairah Mat Halim dari SMKPP 14(1) menjuarai kategori perempuan.
Bagi kategori hafazan, Muhammad Solihin Mohd. Ferdaus daripada SKPP 18(1) muncul Johan Hafazan Rendah Lelaki, dan Nurul Sakinah Nasir dari SKPP 18(1) pula mengungguli Hafazan Rendah Perempuan.
Peringkat menengah pula menyaksikan Uthman Mohd. Ali dari SMKPP 11(2) dinobatkan Johan Hafazan Lelaki, manakala Nur Arissa Qaisara Ros Midi dari SMKPP 11(1) meraih Johan Hafazan Perempuan.
Selain itu, kategori bercerita, kemenangan peringkat rendah disandang Muhammad Atif Ifwat Mohd. Hafizuddin dari SKPP 18(1) untuk kategori lelaki dan Rania El Zara Shazan Kamarul Ariffin dari SKPP 18(1) untuk kategori perempuan.
Bagi kategori menengah, Muhammad Hanief Isyraf Noor Subky dari SMKPP 11(1) dinobatkan Johan Bercerita Lelaki, manakala Nur Qisya Amani Mohd. Syahmi dari SMKPP 9(2) menjuarai kategori perempuan.
Menariknya, Mohd. Azrani berkata, pihak jabatan bercadang memperluas lagi pertandingan pada tahun depan termasuk memperkenalkan kategori azan, khat dan penyertaan murid bukan Islam melalui pertandingan sajak atau syair bertemakan nilai murni.
“Kita mahu MTQ bukan hanya eksklusif kepada murid Islam sahaja. Ruang kepada murid bukan Islam turut kita buka supaya mereka dapat sama-sama menyertai program bernilai pendidikan ini,” katanya. – UTUSAN










