PETALING JAYA: Tiga menteri iaitu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dijangka menyambung tugas masing-masing seperti biasa, hari ini.
Mereka dijangka mengangkat sumpah sebagai Senator untuk penggal kedua selepas kali pertama dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 3 Disember 2022.
Kesinambungan pelantikan mereka sebagai satu isyarat kestabilan, khususnya dalam portfolio strategik yang melibatkan keselamatan dalam negeri, pendidikan tinggi serta hal ehwal agama iaitu tiga kementerian yang memerlukan kesinambungan dasar bagi memastikan agenda kerajaan dapat diteruskan tanpa gangguan.
Di peringkat kementerian masing-masing, ketiga-tiga menteri tersebut dilaporkan terus menjalankan urusan harian seperti biasa, termasuk menghadiri mesyuarat, sesi libat urus dan program rasmi kerajaan.
Tiada isyarat diberikan akan berlaku sebarang perubahan mendadak terhadap kedudukan mereka setakat ini.
Sekiranya pelantikan semula dibuat, ia akan memberi lebih ruang untuk mereka meneruskan dasar sedia ada, selain memperkukuh beberapa inisiatif yang sedang berjalan, termasuk pembaharuan sistem pendidikan tinggi, pengukuhan keselamatan domestik serta pengurusan hal ehwal Islam di bawah naungan Kerajaan Madani.
Walaupun begitu, keputusan muktamad berhubung pelantikan semula senator lazimnya dibuat oleh Perdana Menteri mengikut peruntukan Perlembagaan dan pertimbangan semasa.
Sehingga keputusan rasmi yang dijangka diumumkan hari ini, ketiga-tiga menteri terbabit dijangka kekal menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Cuma Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang telah tamat tempoh sebagai senator pula akan diberi tanggungjawab baharu bagi membantu memperkukuhkan kerajaan.
Tugas baharu bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu akan diumumkan hari ini iaitu sehari selepas Tengku Zafrul tamat tempoh sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua, semalam.
Baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan bayangan beliau tidak akan melakukan rombakan Kabinet secara besar-besaran, sebaliknya hanya akan mengisi kekosongan bagi beberapa jawatan menteri.
Perdana Menteri berkata, ia berikutan tempoh Kabinet di bawah pentadbirannya hanya akan berfungsi selama kira-kira satu setengah tahun sahaja lagi, sebelum penggal pentadbiran itu berakhir.
Persoalan rombakan Kabinet itu timbul selepas tiga orang menteri sebelum ini meletak jawatan iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli (bekas Menteri Ekonomi), Nik Nazmi Nik Ahmad (bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia) dan Datuk Ewon Benedick (bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi). – UTUSAN










