KUALA LUMPUR: Tiga menteri Kabinet mengangkat sumpah di Dewan Negara, hari ini bagi menyambung penggal kedua mereka sebagai senator.
Mereka merupakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Upacara mengangkat sumpah jawatan berkenaan berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah di Bangunan Parlimen, di sini, pada pagi ini.
Awang Bemee ketika berucap pada upacara berkenaan berkata, upacara itu selaras dengan kehendak Perkara 59 (1) Perlembagaan Persekutuan iaitu sumpah atau ikrar yang perlu diucapkan oleh wakil rakyat sebelum mereka menjalankan tugas mereka.
“Ketiga-tiga ahli Yang Berhormat (YB) merupakan ahli yang dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Perkara 45 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan.
“Pelantikan ini adalah pelantikan semula yang berkuat kuasa mulai hari ini hingga 2 Disember 2028, selaras dengan peruntukan Perkara 45 (3) dan Perkara 45 (3A) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Awang Bemee berkata, beliau mewakili Dewan Negara mengucapkan tahniah kepada Saifuddin Nasution, Dr. Zambry dan Mohd Na’im.
“Setinggi-tinggi tahniah kepada ketiga-tiga YB Senator yang kemabli semula ke Dewan Negara, selamat berkhidmat semula.
“Jika diteruskan dan diamanahkan dalam pentadbiran maka jalankanlah tugas dengan berkaliber, memantapkan lagi peranan senator dan dewan ini. Selamat berkhidmat dan bertugas,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, tiga pemimpin tersebut akan menyambung tugas masing-masing seperti biasa, hari ini.
Kesinambungan pelantikan mereka sebagai satu isyarat kestabilan, khususnya dalam portfolio strategik yang melibatkan keselamatan dalam negeri, pendidikan tinggi serta hal ehwal agama iaitu tiga kementerian yang memerlukan kesinambungan dasar bagi memastikan agenda kerajaan dapat diteruskan tanpa gangguan.
Di peringkat kementerian masing-masing, ketiga-tiga menteri tersebut dilaporkan terus menjalankan urusan harian seperti biasa, termasuk menghadiri mesyuarat, sesi libat urus dan program rasmi kerajaan.
Tiada isyarat diberikan akan berlaku sebarang perubahan mendadak terhadap kedudukan mereka setakat ini. – UTUSAN










