Tidak wajar Exco Terengganu tunding jari kepada UMNO tanpa bukti

Tidak wajar Exco Terengganu tuding jari kepada UMNO tanpa bukti – Rozi Mamat

ROZI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Badan Perhubungan UMNO Terengganu menyifatkan tindakan seorang Exco Kerajaan Negeri Terengganu menuding jari mengaitkan parti itu dengan usaha menambah polemik dalam isu rundingan tanah Felda, sebagai tidak wajar.

Pengerusi, Datuk Rozi Mamat berkata, Exco berkenaan sepatutnya tidak membuat tuduhan tidak berasas dalam perkara itu.

Beliau berkata, UMNO tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan rundingan tersebut.

“Kita sangat menghormati proses perundangan, tatakelola serta ruang rundingan antara kerajaan negeri dan Felda. Sikap kita jelas, apa juga keputusan yang melibatkan kepentingan rakyat mesti dibuat secara tertib, teratur dan mengikut prosedur.

“Kenyataan YB Exco yang menuding jari tanpa bukti adalah tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila UMNO kekal mengambil pendekatan berhemah dan tidak campur tangan dalam rundingan yang belum dimuktamadkan,” katanya dalam satu hantaran dalam Facebook beliau, hari ini.

Dalam hantaran itu, beliau turut memuat naik tajuk berita sebuah portal ‘Terenganu fokus rundingan dengan Felda, UMNO jangan tambah polemik -Exco Terengganu’.

Berita itu melaporkan Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan fokus pentadbiran negeri adalah menyelesaikan isu tanah Felda secara rundingan tanpa melibatkan konfrontasi politik meskipun UMNO didakwa terus membangkitkan polemik berkaitan perkara itu.

Ia memetik Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr. Azman Ibrahim berkata, sejak awal pengurusan isu Felda dilakukan, kerajaan negeri tidak pernah menyentuh atau menyerang UMNO.

Menurut Rozi, adalah lebih baik semua pihak mengutamakan ketenangan rakyat, menyampaikan fakta sebenar dan tidak mencetuskan persepsi yang boleh mengelirukan masyarakat.

“Kita sentiasa bersedia bekerjasama dalam apa jua perkara yang memberi manfaat kepada rakyat, namun kita juga berhak menegur apabila dakwaan tidak berasas dilemparkan. Fokus kita adalah rakyat. Bukan polemik,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN