“SAYA minta maaf, dari hujung rambut sampai hujung kaki kerana menghampakan peminat Wings.”
Demikian jawapan bekas pemain dram Wings, Azmi Hashim atau Black, 59, mengenai keputusan berundur dari kumpulan tersebut Oktober lepas.
Menurut Black, dia dan Eddie atau Samsaidi Ulong Idris, 57, berharap peminat menerima keputusan dan memahami keadaan mereka yang terpaksa mengundurkan diri demi kebaikan kumpulan tersebut.
“Bukannya kami tidak mahu meneruskan perjuangan bersama Wings, tetapi keadaan tidak membenarkan.
“Kami mahu peminat tahu yang pengunduran kami ini tidak diputuskan secara tergesa-gesa dan juga kami tidak berniat mahu menganiaya sesiapa.
“Cuma apa yang boleh kami katakan, setiap kesabaran, ada hadnya. Secara peribadi saya sendiri merasakan, sampai satu masa, saya pun sudah tidak boleh meneruskan bersama Wings,” katanya pada sidang media Pentas Barbarik Vol 2, baru-baru ini.

Black dan Eddie sebelum ini mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan pengunduran mereka daripada kumpulan rock legenda tanah air itu berkuat kuasa 8 Oktober lepas.
Keduanya bagaimanapun terus mengunci mulut mengenai punca yang membawa kepada keputusan tersebut.
“Dalam bermuzik kita tak boleh hipokrit. Sudahnya, kita akan beraksi atas pentas dalam keadaan tidak menyenangkan kerana terpaksa berpura-pura.
“Kita kena jujur, bukan sahaja dengan peminat, tetapi juga kepada diri sendiri. Jadi sebelum rasa tidak puas hati kami ini mengganggu ramai pihak, lebih baik kami berundur.
“Sekali lagi, tolong sampaikan kepada peminat yang kami mohon maaf kerana sudah tidak bersama Wings. Diharapkan peminat faham situasi kami,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Black mengakui berat hati dan sedih kerana tidak dapat mengotakan janji untuk bersama peminat ketika konsert band tersebut November lepas.
“Kami sebenarnya ralat kerana sebelum ini kami berjanji dengan peminat yang kami akan bersama-sama mereka di Idea Live Arena November lepas untuk meraikan ulang tahun Wings yang ke-40. Tapi akhirnya kami tak dapat bersama pada malam itu.
“Kami juga tak pandai bermuka-muka depan peminat, menunjukkan yang kami gembira atas pentas meskipun hakikatnya kami tak berikan sepenuh hati.
“Tapi, saya dan Eddie mendoakan agar perjuangan Wings dapat diteruskan. Barisan keanggotaan Wings sekarang ini sudah cukup bagus, mereka ini pemuzik-pemuzik yang berkaliber. Kami mendoakan yang terbaik untuk mereka. diharapkan mereka terus berkarya,” kongsinya.-UTUSAN










