Tiada keperluan bubar Perikatan Nasional

Tiada keperluan bubar Perikatan Nasional

HARRIS IDAHAM RASHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada keperluan untuk membubarkan Perikatan Nasional (PN) sebaliknya kematangan politik dan keikhlasan diperlukan untuk membina kekuatan bersama tanpa menafikan pihak lain.

Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata, semua gagasan diperjuangkan sebelum ini menerusi MN masih boleh diteruskan melalui platform politik PN kerana realiti politik menuntut agenda tersebut didukung oleh kuasa pentadbiran kerajaan.

Kata beliau, pihaknya sependapat dengan pandangan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi bahawa muafakat politik boleh dibentuk sebaik sahaja UMNO memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) dengan syarat objektif perjuangan adalah selari.

“PN terbukti paling hampir untuk memperoleh mandat tersebut. Gabungan Bersatu dan Pas telah menunjukkan satu muafakat yang unggul dan penyertaan UMNO bakal membentuk Muafakat Agung yang diharapkan oleh akar umbi Bersatu, Pas dan UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PN dan Barisan Nasional (BN) perlu mengadakan perbincangan awal bagi menghidupkan semula MN.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berpandangan cadangan Ke­tua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh untuk mewujudkan semula MN boleh diteruskan jika UMNO memutuskan kerjasama dengan PH.

Menurut Harris Idaham, PN bukan terbentuk secara kebetulan, sebaliknya lahir daripada kesedaran politik serta pengalaman sejarah bahawa kekuatan umat dan negara hanya dapat dibina melalui muafakat yang tulen dan berprinsip.

“Dalam konteks itu, Bersatu dan Pas memainkan peranan penting sebagai teras awal penubuhan PN, manakala hubungan setiakawan antara kedua-dua parti terbabit bukan bersifat taktikal jangka pendek, sebaliknya berasaskan persamaan prinsip, kestabilan negara, keadilan ekonomi serta pembelaan terhadap rakyat.

“Muafakat ini telah diuji dalam pelbagai fasa politik dan kekal utuh kerana ia berakar pada kepercayaan, bukan kepentingan sempit,” katanya.

Tambah beliau, fakta juga menunjukkan gabungan Bersatu dan Pas bukan sahaja mampu bekerjasama dalam pentadbiran, malah berjaya memenangi banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam beberapa siri pilihan raya umum (PRU).

“Keputusan pilihan raya merupakan ukuran paling objektif dalam politik dan pencapaian tersebut membuktikan tahap keyakinan rakyat terhadap muafakat yang dibentuk,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×