‘Tiada istilah tersinggung jika orang ‘sentuh’ lagu saya’ - Utusan Malaysia

‘Tiada istilah tersinggung jika orang ‘sentuh’ lagu saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Gelombang penyanyi baharu yang rancak memper­sembahkan semula lagu-lagu klasik tidak pernah menjadi isu bagi penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa.

Sama sekali tidak tersinggung jika karyanya ‘disentuh’ semula oleh mana-mana penyanyi lain, Rossa tampil dengan pendirian cukup matang kerana baginya seni perlu terus hidup walau siapa pun yang membawanya.

Malah, pemilik vokal emas yang sudah lebih dua dekad mengungguli carta serantau itu mengakui, setiap kali mendengar penyanyi muda menyampaikan lagu-lagunya, hatinya bukan sahaja berbunga, malah berasa bangga kerana karya yang pernah melonjakkan namanya kini bernafas dalam jiwa generasi baharu.

Bagi Rossa, itu tanda muziknya masih relevan dan terus dicintai. Penyanyi kelahiran Sumedang itu turut menegaskan bahawa dia tidak pernah melihat dirinya sebagai ‘artis lama’ yang harus terlalu melindungi karya sendiri.

“Saya tidak pernah fikir saya ini penyanyi lama atau baharu. Seni itu perlu hidup. Andai kata orang lain menyanyikan lagu saya,seharusnya saya berasa bangga, bukan tersinggung.

“Ini kerana bagi saya, muzik ialah warisan, dan sesiapa yang mahu menyanyikannya berhak memberi warna baharu asalkan dilakukan dengan rasa hormat dan kreativiti sebenar.

“Justeru, itu membuatkan lagu-lagu tersebut menjadi lebih kaya. Bila saya dengar orang lain menyanyikan lagu saya, hati saya gembira,” jelasnya.

Menyentuh kecenderungannya sendiri untuk merakam semula karya-karya lama, Rossa berkata ia bukan soal ingin menandingi kehebatan penyanyi asal, sebaliknya memberi nafas baharu agar lagu-lagu berkelas legenda tidak ditelan zaman.

Ia dapat dilihat menerusi usahanya memberi nafas baharu terhadap lagu Sinaran yang dinyanyikan bintang asal iaitu Datuk Sheila Majid.

Tidak cuma itu, Rossa juga melakukan hal sama terhadap beberapa lagu klasik era 70-an daripada Chrisye serta Fariz RM yang dimuatkan dalam mini albumnya, Asmara & Dansa.

“Saya pastikan versi yang saya buat tidak apple to apple dengan penyanyi asal. Contohnya, Sinaran versi Sheila ada unsur jazzy dan Hollywood glam.

“Saya pula hilangkan elemen jazzy dan gantikan dengan elektronik, EDM serta elemen rap,” katanya.

Rossa menegaskan setiap perubahan muzik dilakukan dengan penuh hormat serta melalui saluran perundangan yang betul termasuk mendapatkan kebenaran penerbit dan waris pencipta.

Menurutnya, dunia muzik sentiasa berkembang dan perlu diraikan tanpa menimbulkan rasa tidak senang mana-mana pihak.

Pembabitan MK
Sementara itu, berkongsi lanjut mengenai pembabitan penyanyi rap tanah air, MK K-Clique untuk berduet dengannya dalam lagu Sinaran, Rossa mendedahkan keputusan menampilkan penyanyi tersebut bukanlah satu keputusan yang tergesa-gesa.

Sebaliknya,ia sudah dirancang sejak sebelum konsert jelajahnya berlangsung di Indonesia.

Menurut Rossa, ketika pengenalan MK dibuat di atas pentas konsert terdahulu, ramai yang menyangka ia sekadar kejutan spontan.

Namun hakikatnya, lagu duet mereka sebenarnya sudah siap dirakam terlebih dahulu, namun belum berkesempatan untuk menghasilkan video muzik.

Selain itu, mengulas mengenai pemilihan MK, Rossa berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat pandangan rakan-rakan industri di Malaysia yang mencadangkan seorang penyanyi rap generasi baharu untuk memberi suntikan segar kepada karya ikonik tersebut.

“Saya tanya kawan-kawan di Malaysia, siapa rapper yang sesuai? Sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan Joe Flizzow, jadi kali ini saya mahu seseorang dari generasi berbeza. Cadangan itu akhirnya membawa kepada kumpulan popular K-Clique.

“Mereka kata cuba tengok K-Clique, dalam kumpulan itu ada MK. Saya fikir, oh boleh juga. Dan saya rasa dia memang sesuai untuk bahagian rap dalam Sinaran,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Rossa turut memberitahu, sebab utama dia memilih Sinaran untuk projek mini albumnya kali ini adalah kerana lagu klasik itu sangat dekat dengan jiwanya.

“Saya dan Dipha Barus memang suka Sinaran. Siapa yang tak suka? Dan sebab saya berkarier di Malaysia juga, saya mahu ada satu lagu yang asalnya ciptaan pemuzik Malaysia.

“Sinaran dipilih bukan sekadar kerana popularitinya, tetapi juga kerana rasa hormat dan minat kami yang mendalam kepada penyanyinya, Datuk Sheila Majid. Jadi kami rasa lagu inilah yang paling tepat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN