Tersungkur di depan nikmat

Tersungkur di depan nikmat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sungai Menerong menyambut pagi dengan aliran yang sejuk, tetapi ada sesuatu yang garang tersembunyi di balik kejernihannya. Kabus nipis menari di permukaan air, seperti tirai putih yang tidak mahu menyingkap segala rahsia yang disimpannya sejak bertahun-tahun lalu.

Di tepi sungai itulah tertancap khemah-khemah pendulang emas, membentuk sebuah perkampungan kecil yang riuh sejak subuh lagi.

Dulang bergesel pada batu, suara air berlaga tebing, dan jeritan manusia yang menggali dasar sungai memecahkan kesunyian alam.

Di tengah hiruk-pikuk itu, Leman menjerit sambil memegang dulangnya.

“Mat! Tengok ini! Emas lagi! Rezeki macam tak hendak berhenti!”

Mat yang sedang mengorek pasir ketawa besar.

“Kalau begini setiap hari, kita boleh buat rumah lagi satu! Imam Mahmud jangan kacau!”

Gelak mereka bergema, melantun pada tebing sungai.

Sedang mereka leka, azan Zuhur dari Pondok Menerong menjalar merentasi angin, meresap perlahan ke lembah, tetapi hati manusia yang ghairah tidak mendengarnya.

“Jom solat,” tegur Bashir perlahan.

Leman menjeling. “Solat nanti. Kita jamak. Allah tahu kita tengah ‘kerja’.”

“Tapi kita bukan musafir,” Bashir membalas, suaranya hampir tenggelam.

Mat menengking, “Sudahlah budak! Kau hendak solat, pergi! Jangan kacau orang tengah cari rezeki.”

Bashir menghela nafas, melonjak ke tebing dan solat di bawah pokok besar.

Akar-akar pohon seperti menjadi saf yang memeluk tanah, namun solatnya tenggelam dalam gelak tawa di tepi sungai.

Tidak lama selepas itu, langkah perlahan tetapi tegas menyusuri denai menuju sungai. Imam Mahmud tiba dengan tongkat kayunya, serban putihnya menunduk sedikit, wajahnya sarat dengan kesayuan yang tidak pernah padam.

“Assalamualaikum,” suaranya lembut tetapi jelas.

Gelak tawa terhenti dua saat sebelum kembali pecah.

“Waalaikumussalam,” hanya Bashir menjawab.

Imam Mahmud berdiri di tepi sungai.

Dari riak air yang deras itu, seakan ada bayang peringatan lama yang muncul semula dalam ingatannya Bah Kuning.

“Anak-anakku,” Imam memulakan, “solat sudah masuk. Janganlah rezeki ini membuat kamu lupa pemberinya.”
Mat mengangkat kening tinggi.

“Imam… kami tak buat salah. Kami cari rezeki halal. Apa yang imam risau sangat?”

Imam memandang mereka seorang demi seorang.

“Kerana aku sudah lihat apa yang berlaku bila manusia sombong dengan anugerah. Zaman getah mahal dulu, kampung kita hanyut kerana

kelalaian manusia.”
Leman menjengelkan mata.

“Itu dulu, imam! Itu bah besar! Takkanlah nak datang lagi?”
Imam menarik nafas panjang seperti menahan perit luka lama.

“Bala tidak perlu datang besar untuk membawa peringatan Allah.”

Mat tiba-tiba ketawa sinis.

“Imam… imam takut sangat. Kami tak takut apa-apa. Kalau Allah nak marah, marahlah!”
Bashir menunduk, wajahnya pucat.

Kata-kata itu bukan mainan. Ia seperti menjemput sesuatu yang tidak boleh dilihat.

Imam Mahmud menatap sungai. Airnya kelihatan beralun, bukan marah, tetapi berat seperti menyimpan memorinya sendiri.

Beberapa tahun sebelumnya, ketika harga getah menjulang tinggi, kampung Menerong menjadi seperti kota emas.

Getah ditoreh pagi, duit masuk petang. Malam-malam kedai kopi full house. Ada yang pesta sampai dinihari. Ada yang mengumpul hutang tidur daripada solat.

Dan yang paling Imam Mahmud tidak dapat lupa, perempuan asing ditemui di kebun getah, jauh dari pandangan keluarga. Sementara suara agama ditolak ke tepi.

Ketawa menggantikan zikir. Kemewahan menggantikan syukur.

Imam Mahmud berkali-kali memberi amaran, “Jangan biarkan getah menjadi Tuhan…”

Tetapi manusia yang sedang mabuk nikmat tidak mendengar.

Dan kemudian langit menjadi kuning. Angin berhenti bergerak.

Air sungai naik tanpa amaran. Bah Kuning datang seperti tentera alam yang sudah lama menunggu perintah.

Rumah-rumah hanyut, termasuk rumah di puncak bukit yang dianggap mustahil tenggelam. Tangisan merentasi malam. Doa memecah dada langit.

Dan manusia menangis bertalu-talu melihat segala yang mereka sayang ditarik sekelip mata. Namun entah bagaimana, manusia kembali lupa.

Kini, ketika emas pula menjadi rezeki baru, kelalaian yang sama berulang.

Lelaki dan perempuan duduk rapat, ketawa tanpa segan. Solat diabaikan.

Aurat tidak dijaga. Pergaulan tidak dibatas.
Sungai Menerong yang pernah menjadi medan bencana mengalir lagi dengan wajah yang tenang, tetapi ketenangan itu bukan tanda selamat.

Ia seperti cermin untuk hati manusia, bukan suara, bukan amaran verbal, tetapi melalui kejadian dan perubahan alam.

Bashir hanya mampu memandang dari jauh. Dia tahu, sesuatu sedang mendekat.

Petang itu, angin bertiup tidak seperti biasa. Daun-daun berkerisik kuat, seperti menampar satu sama lain. Air sungai mula berbuih kecil.

Burung-burung yang biasanya menyanyi berhenti tanpa sebab.

Imam Mahmud berdiri di serambi pondok, tangannya memegang dada.

Dia pernah rasa tanda ini dahulu. Awan di atas Menerong bergerak perlahan, berat, seolah membawa sesuatu yang tidak diundang.

“Ini bukan hujan biasa…” bisik Imam.

Di sungai, Mat masih ketawa.

“Hari mendung sikit, bukan kiamat!”

Tetapi hujan pertama turun seperti hentaman kaca pecah. Dua saat kemudian. Hujan mencurah, deras, laju. Air sungai naik separas lutut

dalam masa beberapa minit.

“Mat! Leman! Khemah hanyut!”

“Dulang aku hilang!”

“Emas aku! YA ALLAH!”

Jeritan berselang-seli dengan bunyi air yang merempuh tebing.

Imam Mahmud berlari turun bersama beberapa pemuda kampung. Tali, kayu panjang, tikar apa sahaja mereka bawa.

“Tarik! Tarik Leman!”

“Aku tak boleh! Tangan aku tersangkut!”

Bashir terjun ke air separas pinggang, menarik pinggang Leman dan Mat sambil terketar-ketar.

Sungai tidak membunuh.

Tetapi ia cukup kuat untuk menumbangkan sombong.

Setelah mereka selamat, Leman terduduk, menggigil.

Mat menangis tanpa suara.

Hujan berhenti tiba-tiba… seperti tirai yang jatuh dalam drama selepas klimaks.

Sungai kembali tenang.
Sunyi.

Tetapi kesunyian itu bukan kosong ia penuh peringatan.

Di pondok Imam Mahmud, Leman dan Mat duduk bersimpuh. Air mata masih bersisa.
“Imam…” suara Leman serak, “itu bukan kebetulan. Kami tahu.”

Mat mengangguk. “Kami… lalai. Kami ulang dosa lama zaman getah mahal.”
Imam Mahmud memegang bahu mereka berdua, dengan tangan yang bergetar halus namun penuh kasih.

“Anak-anakku… Allah tidak menghukum. Dia mendidik.

Kamu diberi anugerah getah dulu, emas sekarang tetapi anugerah itu bukan untuk dibawa diri menjadi sombong. Ia ujian.

Ujian untuk sujud. Bukan lalai.”

Leman mengesat air mata.

“Kami sudah nampak. Kami tak mahu diuji begini lagi, imam.”

Imam tersenyum, lembut seperti air sungai yang kembali jernih.

“Jika kamu kembali kepada Allah, sungai pun akan menjadi saksi bahawa kamu memilih jalan yang benar.”

Sejak hari itu, perubahan berlaku bagai kemunculan fajar baru.

Pendulang berhenti kerja setiap kali azan berkumandang. Lelaki dan wanita dipisahkan kawasan mendulang. Solat berjemaah menjadi rutin.

Kehormatan dijaga. Adab didahulukan. Gurauan maksiat lenyap oleh zikir dan selawat.

Dan Sungai Menerong, mengalir semula dengan tenang.

Bukan kerana ia memberi amaran. Tetapi kerana manusia mula memahami peringatan Allah.

Imam Mahmud berdiri memandang aliran air yang jernih, lalu berbisik.

“Ya Allah… jadikanlah setiap anugerah sebagai jalan menuju syukur, bukan jalan menuju kelalaian.”
Angin yang lembut menyapu wajahnya, membawa doa itu naik ke langit, sementara Sungai Menerong terus mengalir menjadi saksi bisu

kepada manusia yang akhirnya kembali kepada Tuhan tanpa perlu sungai itu bersuara. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN