RAWANG: Seramai 40 wakil media tempatan dan pempengaruh golf terkemuka memeriahkan edisi sulung Kejohanan Piala Media 2025 anjuran Tasik Puteri Golf & Country Club (TPGCC) sebagai usaha merapatkan kolaborasi antara media tradisional dan pencipta kandungan digital.
Acara itu berlangsung di padang golf TPGCC yang baru-baru ini dinobatkan sebagai Padang Golf Awam Terbaik dan Destinasi Golf Pelancongan Terbaik Malaysia pada Tourism Industry Awards 2025.
Penganjuran kali pertama ini menyaksikan format media menentang pempengaruh yang berjaya mencetuskan persaingan mesra dan meningkatkan interaksi antara peserta dari dua ekosistem media berbeza yang kini bergerak seiring dalam industri sukan.

Aksi kompetitif itu menyaksikan pasukan influencer menjuarai Kejohanan Piala Media 2025 dengan 328 mata manakala pasukan media tempatan memberikan tentangan sengit sebelum menamatkan saingan dengan 318 mata.
Pengurus Besar TPGCC, Nor Afendi Mohd. Razlan berkata, penganjuran piala media ini bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya platform memperkukuh jaringan profesional antara media tradisional dan pencipta kandungan digital.
“Objektif kejohanan itu bertujuan mengeratkan hubungan, memupuk kerjasama dan menonjolkan peranan penting yang dimainkan oleh media dalam membentuk industri golf moden,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampian hadiah kepada pemenang semalam.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua wakil media dan pempengaruh yang hadir sambil menyifatkan penyertaan itu sebagai bukti komitmen bersama memajukan industri golf melalui pendedahan yang lebih kreatif dan efektif.
Susulan sambutan positif, TPGCC turut mengumumkan Kejohanan Piala Media akan dijadikan acara tahunan mulai tahun hadapan dengan penganjuran lebih dinamik serta penglibatan media yang lebih meluas bagi memastikan ia terus menjadi antara acara kemuncak dalam kalender golf dan media negara. – UTUSAN









