Tasik Kenyir kekal ‘syurga’ peminat memancing ikan

Tasik Kenyir kekal ‘syurga’ peminat memancing ikan

SEBAHAGIAN peserta International Monsoon Casting Tournament (IMCT) 2025 di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. – FB JABATAN PELANCONGAN NEGERI TERENGGANU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Tasik Kenyir di sini kekal sebagai syurga kaki pemancing apabila menjadi lokasi tumpuan hampir 300 peserta tempatan dan pemancing profesional yang memburu pelbagai spesies ikan sempena cabaran International Monsoon Casting Tournament (IMCT) 2025, baru-baru ini.

Penganjuran edisi ke-17 itu turut menarik lebih 40 peserta antarabangsa dari lima negara iaitu Indonesia, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Australia, Singapura dan Jepun.

Sekretariat IMCT 2025 berkata, kehadiran penggemar sukan memancing dari negara-negara terbabit membuktikan Tasik Kenyir masih menjadi tumpuan utama peminat sukan memancing.

 “Tasik ini menawarkan kepelbagaian spesies terkenal seperti sebarau, toman, kelisa dan pelbagai spesies asli lain yang menjadi daya tarikan kuat kepada pemancing tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Penganjuran edisi ke-17 itu mempertanding sembilan kategori sepanjang tiga hari pertandingan berlangsung dengan konsep unik perkampungan atas air yang berpusat di Pulau Mahadir.

IMCT 2025 menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM165,000 berupa enjin bot, bot aluminium, bot fiber, motor elektrik, produk serta aksesori memancing kepada pemenang terpilih.

Sementara itu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu  dalam kenyataannya memaklumkan, sebanyak 11 rumah bot, 90 bot fiber, tiga bot pancing dan 26 kayak digunakan sepanjang kejohanan itu.

“Kehadiran mereka menjadikan kawasan perairan Pulau Mahadir meriah dengan aktiviti memancing dan penginapan berkonsepkan perkampungan atas air,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN