Secara keseluruhan, 2025 merupakan tahun yang baik bagi filem Malaysia apabila data kutipan di bawah Skim Wajib Tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mencatat peningkatan signifikan berbanding tahun lalu.
Setakat 23 Disember, jumlah kutipan filem di bawah skim tersebut adalah sebanyak RM182.84 juta, meningkat 59 peratus berbanding RM115.13 juta yang dikutip sepanjang tahun lalu.
Peningkatan ini belum mengambil kira filem-filem yang masih mengisi jadual tayangan di panggung seperti filem Papa Zola The Movie yang mendapat sambutan hangat di pawagam sekali gus mencetuskan fenomena ‘demam kebenaran’.
Bagaimanapun peratusan peningkatan ini mencerminkan penerimaan yang lebih baik terhadap filem tempatan, terutamanya dalam genre aksi dan animasi.
Berikut kami senaraikan filem Malaysia di bawah Skim Wajib Tayang dengan kutipan tertinggi dan terendah tahun ini.

Papa Zola The Movie
Tayangannya masih berlangsung namun Papa Zola The Movie telah berjaya memasuki kedudukan tiga filem tempatan terlaris tahun ini dalam tempoh dua minggu tayangan dengan kutipan RM25.6 juta setakat 23 Disember.

Killmaster
Cita-citanya tinggi dengan penampilan pelakon dan lokasi antarabangsa, namun Killmaster hanya berjaya meraih RM3,844.36 sepanjang tayangannya, terima kasih kepada 266 penonton yang membeli tiket.
Filem aksi ala James Bond ini diterbit, diarah, ditulis dan dilakonkan penerbit berpengalaman, Julian Cheah.

Vegam Vivegam Vetri
Filem aksi thriller Tamil ini menampilkan barisan pelakon yang terdiri daripada penggiat seni bela diri sebenar, namun belum cukup untuk menarik penonton ke pawagam.
Dengan kutipan RM7,122.80 dan 447 penonton, ia menjadi filem ketiga paling corot pada 2025.

Pejam
Filem drama kekeluargaan yang mengangkat tema perpaduan ini hanya berjaya meraih RM2,761.55 sepanjang tayangannya, sekali gus menjadi filem tempatan dengan kutipan terendah pada 2025.

Blood Brothers: Bara Naga
Filem arahan Syafiq Yusof dan Abilash Chandra ini mencipta fenomena dengan kutipan RM73.64 juta sepanjang tayangannya, sekali gus menjadi filem kedua paling laris dalam sejarah perfileman Malaysia.
Gabungan genre aksi dengan drama kekeluargaan serta persahabatan yang ditonjolkan ternyata mengikat minat penonton tempatan dengan jumlah lebih 4 juta penonton.
”
Ejen Ali The Movie 2
Keupayaan filem animasi Malaysia menarik tontonan tidak boleh dipertikaikan lagi. Sambungan kembara Ejen Ali berjaya mengutip RM58.40 juta sepanjang tayangannya, melebihi kutipan filem pertamanya pada 2019.
Rekod ini turut menjadikan Ejen Ali The Movie 2 sebagai filem animasi tempatan paling laris dalam sejarah.










