KUALA LUMPUR: Kemelut membabitkan pelakon, Anna Jobling dan ibunya, Ariz Arop, dilihat menemui titik perdamaian apabila kedua-duanya hadir bersama serta berpelukan di karpet merah Anugerah Bintang Popular (ABP) ke-37, pada Jumaat.
Anna atau Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 25, berkata, walau apa juga yang berlaku sebelum ini, doa seorang ibu kekal menjadi kekuatan utama dalam meneruskan kehidupannya sebagai anak seni.
“Doakan yang terbaik. Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya dan keluarga.
“Apapun yang berlaku, dia tetap ibu saya. Syurga saya tetap di bawah tapak kaki ibu saya. Walau apa yang terjadi sebelum ini, doa ibu sangat penting dalam hidup saya,” katanya.
Menurut Anna, kehadiran ibunya pada malam anugerah berprestij itu amat bermakna dan disifatkan sebagai tanda sokongan terhadap perjalanan seninya.
“Dia hadir memberi sokongan kepada saya malam ini. Kalau tiada dia, saya rasa kosong. Doakan yang terbaik buat kami,” ujarnya.
Pada malam tersebut, Anna turut meraih kemenangan dalam kategori Gandingan Serasi Drama Popular bergandingan bersama pelakon, Shukri Yahaya.
Terdahulu, hubungan Anna dan ibunya menjadi perhatian ramai selepas Ariz meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan Anna yang didakwa menghantar perintah injunksi kepadanya. -UTUSAN










