PUTRAJAYA: Rayuan akhir pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhenti seketika.
Ia selepas Hakim Mahkamah Persekutuan meminta pihak-pihak terlibat merenung dan menilai semula pendirian masing-masing.
Arahan luar jangka itu bagi membolehkan pihak pendakwaan menyemak semula hasrat mereka sama ada mahu meneruskan rayuan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar itu atau sebaliknya.
Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais berkata, selepas mendengar prosiding yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, beliau berpendapat kedua-dua pihak perlukan masa untuk berbincang lebih lanjut bagi menilai kes secara keseluruhan.
Hakim itu turut menggunakan analogi ‘permainan hoki’ bagi menggambarkan keperluan untuk pendakwaan dan pembelaan meneliti semula hujahan yang telah dikemukakan sepanjang prosiding tersebut.
“Sekiranya pengadil merasakan pemain-pemain dalam satu perlawanan hoki tidak mengikut peraturan, pengadil akan meminta pemain tersebut dikeluarkan selama beberapa minit untuk ‘direhatkan’.
“Selepas sudah cool down, baru pengadil akan membenarkan pemain tersebut menyertai perlawanan semula,” kata Hakim Abu Bakar yang bersidang bersama hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Hakim Abu Bakar berkata, selepas kedua-dua pihak merenung hujahan masing-masing, mereka diberikan masa selama satu minggu untuk memberikan jawapan secara bertulis sama ada untuk meneruskan rayuan tersebut ataupun tidak.
“Kedua-dua pihak perlu balik dan nilai semula hujahan, kemudian beritahu apakah pendirian anda. Adakah anda berasa yakin rayuan tersebut perlu diputuskan oleh mahkamah?
“Saya tidak menerima sebarang representasi. Saya hanya ingin tahu apakah pendirian anda sama ada rayuan ini perlu diteruskan atau tidak,” katanya.
Hakim Abu Bakar berkata, beliau berharap agar semua pihak terutamanya pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Datuk Ahmad Akram Gharib serta pihak pembelaan yang diwakili peguam-peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Ambiga Sreenevasan agar dapat memberi perhatian serius terhadap perkara tersebut.
Hakim itu kemudiannya berkata, panel-panel menetapkan tarikh selama seminggu bagi Ahmad Akram menghantar hujahan bertulis dan seminggu lagi bagi pihak pembelaan untuk memberi balasan.
“Jika anda yakin kes anda masih boleh dibuktikan, teruskan. Tetapi jika selepas menilai semula, anda merasakan kes itu tidak kukuh, sila maklumkan kepada mahkamah. Namun, jika tiada sebarang respons, panel hakim akan memberikan keputusan.
“Ketiga-tiga hakim akan menulis alasan penghakiman masing-masing. Sama ada rayuan pihak pendakwaan dibenarkan atau sebaliknya bergantung pada ketiga-tiga alasan penghakiman tersebut,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mendengar hujahan lisan daripada pihak pendakwaan selaku perayu dan dan pasukan pembelaan Syed Saddiq selaku responden selama dua hari bermula semalam.
Pada 25 Jun lalu, Syed Saddiq telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.
Pihak pendakwaan kemudian telah memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan dengan 28 alasan antaranya bagi mengembalikan semula sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi yang diketepikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan tersebut. – UTUSAN










