PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur ahli-ahli Parlimen yang gagal menunjukkan contoh baik dan meminta mereka mewakili rakyat dengan penuh hormat, maruah dan integriti.
Baginda menzahirkan kekecewaan terhadap segelintir wakil rakyat yang terlibat dalam pertengkaran, aksi jerit-menjerit dan tingkah laku tidak tertib di Dewan Rakyat.
“Keadaan ini memalukan. Walaupun pelbagai peringatan telah diberikan sebelum ini, masih ada yang terus berkelakuan biadab,” titah baginda dalam temu bual bersama Bernama.
Pada bulan lalu, dua anggota Parlimen diarahkan keluar dewan selepas berlaku pertengkaran mulut, manakala epanjang tahun ini, beberapa insiden kekecohan turut berlaku di Dewan Rakyat akibat tegang leher yang memuncak.
Sultan Sharafuddin bertitah, anggota Parlimen yang berperangai sedemikian sepatutnya menjadi teladan kepada generasi muda, namun sebaliknya mereka berkelakuan seperti pembuli.
Baginda bertitah, Dewan Rakyat mesti menjadi contoh wacana demokrasi yang matang dan bukan menjadi medan menghamburkan kata-kata kesat.
“Ahli Parlimen seharusnya berbahas dan berhujah secara berilmiah dan mengemukakan idea yang membina. Tidak perlu bersikap kasar atau menghamburkan kata-kata kesat antara satu sama lain.
“Kedangkalan sedemikian hanya akan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi ini,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut menyeru Ahli Parlimen mengekalkan adab, berbahas dengan tertib dan menonjolkan kematangan.
“Saya tidak berniat mencampuri urusan perjalanan Dewan Rakyat kerana itu adalah tanggungjawab Yang Dipertua Dewan, namun sesetengah perlakuan dalam Dewan Rakyat memberi gambaran buruk terhadap kepemimpinan kita dan mungkin menjadi contoh tidak baik kepada generasi muda.
“Sebagai seorang Raja, beta perlu menyuarakan pandangan dan kebimbangan beta,” titah baginda sambil menegaskan perbezaan pendapat perlu diselesaikan melalui kewarasan, hujah yang baik dan pendekatan yang berhemah,” titah baginda.-UTUSAN










