Terdapat pelbagai kategori kanak-kanak bergantung kepada tahap kesihatan, antara yang dimaksudkan adalah pelajar istimewa yang perlu disantuni manakala proses pembelajaran mereka memerlukan kaedah atau pendekatan berbeza
Oleh kerana pelajar golongan tersebut merupakan sebahagian daripada masyarakat, maka satu inisiatif perlu dilaksanakan bagi menyantuni mereka sebagai sebahagian daripada masyarakat.


Atas tujuan itu, Sekolah Taarana Petaling Jaya yang merupakan sekolah untuk kanak-kanak berkeperluan khas, baru-baru ini menganjurkan hari sukan tahunan yang bukan sekadar acara riadah, malah ia menjadi platform awal dalam mendidik dan membentuk keyakinan pelajar-pelajar istimewa agar mampu berdikari serta berinteraksi secara inklusif dengan komuniti.
Acara yang berlangsung meriah di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) SS3 itu menyerlahkan komitmen berterusan pihak sekolah dalam memperkasa pelajar berkeperluan khas itu menerusi pendekatan menyeluruh yang merangkumi aspek fizikal, sosial dan emosi.
Pengetua sekolah berkenaan, Dr. Sunitha Sivakumaran berkata, acara sukan yang berlangsung saban tahun itu merupakan sebahagian daripada inisiatif sekolah untuk memupuk nilai inklusiviti dalam kalangan pelajar berkeperluan khas.
“Tujuan kami adakan sukan tahunan ini adalah untuk menggalakkan penyertaan pelajar dalam aktiviti yang mungkin mereka tidak berpeluang sertai di luar.
“Kalau kami tidak beri mereka peluang ini , golongan berkenaan tidak akan tahu yang mereka mampu bersaing seperti kanak-kanak lain.
“Anak-anak kecil ini biasanya terlalu dilindungi di rumah. Tetapi melalui acara ini, ibu bapa dapat lihat sendiri bahawa mereka mampu beraksi seperti orang lain juga.
“Namun, tahun ini sedikit mencabar dan ada sedikit kelainan kerana penyertaannya meningkat,” katanya kepada Utusan Pelajar.
Dr. Sunitha berkata, pendekatan pendidikan di Sekolah Taarana memberi tumpuan bukan sahaja kepada akademik tetapi juga kepada kemahiran hidup berdikari, sesuai dengan realiti kehidupan sebenar yang bakal dilalui pelajar istimewa.
“Saya rangka semula kurikulum supaya kemahiran hidup seperti membasuh pinggan, melipat baju, menyapu lantai dimasukkan dalam jadual harian. Kita kena realistik, setakat mana sangat mereka boleh pergi dengan akademik semata-mata?” ujarnya.
Antara inisiatif yang diperkenalkan beliau termasuklah program vokasional seperti Tarana Café yang dibuka kepada umum sebulan sekali, dengan pelajar sendiri menyediakan makanan sebagai latihan bekerja dalam persekitaran sebenar.
Sementara itu, seorang guru di Sekolah Taarana, Mak Jia Wei pula berkata, proses mendidik pelajar istimewa memerlukan pendekatan yang berbeza, khususnya dari segi komunikasi dan kefahaman terhadap keperluan mereka.

“Anak-anak khas bukanlah tidak normal, cuma cara mereka memahami dan berkomunikasi sedikit berbeza. Oleh itu, kami sebagai guru perlu ‘turun’ ke tahap mereka supaya mereka faham apa yang kita cuba sampaikan,” katanya.
Jia Wei mengakui bahawa cabaran utama dalam mengendalikan aktiviti fizikal seperti Hari Sukan Tahunan ini adalah perlu memastikan pelajar mendapat latihan awal dan diberi makluman lebih awal supaya mereka dapat bersedia dari segi mental dan emosi.
“Mereka perlukan masa lebih panjang untuk faham dan sesuaikan diri. Dari segi komunikasi pun ada cabaran kerana mereka kadang-kadang tidak faham apa yang kita mahu.
“Jadi, penting untuk kita maklumkan awal supaya mereka dapat bersedia secara mental dan emosi. Sebenarnya sama seperti manusia biasa, kita juga tidak suka sesuatu yang perlu dibuat pada saat-saat akhir,” ujarnya.
Jia Wei turut menyatakan harapannya agar pelajar yang dididik mampu hidup berdikari apabila mencecah usia dewasa kelak.
“Ramai anak istimewa masih bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa walaupun sudah dewasa. Mereka tidak tahu beli makanan, tiada kemahiran asas. Jadi, itulah fokus utama kami saya harap mereka dapat dilatih berdikari sejak awal,” katanya.
Dalam pada itu, ibu kepada salah seorang pelajar istimewa, Carmen Hai, meluahkan rasa terharu melihat perubahan positif anaknya selepas hanya beberapa bulan menyertai Taarana.
“Saya sangat gembira sebab anak saya boleh sertai semua acara sukan. Dia kelihatan lebih yakin, mahu mencuba perkara baharu. Terima kasih kepada guru-guru yang beri bimbingan dan peluang ini.
“Saya nampak guru-guru di sini sangat prihatin dan mempunyai cukup tenaga pengajar. Ini sangat penting untuk mengendalikan anak-anak istimewa seperti mereka,” katanya. – UTUSAN










