Suara Hind Rajab simbol kezaliman rejim Zionis di Gaza

Suara Hind Rajab simbol kezaliman rejim Zionis di Gaza

Sanak saudara meratapi kematian ahli keluarga Al-Nader yang terbunuh dalam serangan tentera Zionis di kawasan khemah pelarian yang dijadikan sekolah di Tuffah, Gaza semalam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Insiden kanak-kanak berusia enam tahun yang terperangkap dalam kenderaan dan terbunuh akibat serangan rejim Zionis kini ‘bergema’ ke seluruh dunia sebagai simbol penderitaan paling memilukan rakyat Palestin.

Kisah syahidah cilik, Hind Rajab itu diangkat menerusi tayangan perdana dokudrama bertajuk Suara Hind Rajab yang ditayangkan pada Majlis Peringatan Hari Solidariti Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Maklumat Pelancongan Malaysia (MaTiC), baru-baru ini.

Dokudrama tersebut memaparkan semula detik-detik terakhir Hind yang terbunuh di Gaza pada Januari 2024. Kisahnya sebelum ini mencetuskan kemarahan global selepas rakaman audio rayuan bantuan terakhirnya kepada operator Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin tular di media sosial.

Memuatkan artikel berkaitan…

Filem asal Tunisia arahan Kaouther Ben Hania yang mendapat pengiktirafan antarabangsa itu memaparkan bukti nyata terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa dan jenayah perang oleh rejim Zionis yang menyasarkan orang awam, khususnya kanak-kanak.

Bakal Duta Besar Palestin ke Malaysia, Jehad Alqedra berkata, walaupun suara Hind berjaya menembusi tembok kezaliman untuk didengari dunia, namun hakikatnya masih ramai lagi kanak-kanak Palestin mengalami nasib serupa.

“Kisah Hind amat memilukan. Malangnya, dia boleh dianggap beruntung kerana suaranya sampai ke pengetahuan dunia.

“Sedangkan, ramai lagi ka­nak-kanak Palestin yang menghadapi takdir yang sama namun tidak pernah diketahui (kisah mereka),” katanya.

Katanya, kerjasama erat dengan organisasi seperti MAHAR berupaya memperkukuh semangat ‘Sumud’ atau keteguhan rakyat Palestin untuk terus bertahan dan mempertahankan tanah air mereka.

“Sokongan rakan-rakan di seluruh dunia bukan sekadar simbolik, tetapi ia adalah nadi kepada perjuangan kami.

“Walaupun berdepan dengan jenayah yang amat zalim termasuk kebuluran, sekatan, pemindahan paksa dan genosid, rakyat Palestin tetap nekad untuk tidak meninggalkan tanah air mereka demi mencapai kebebasan dan maruah diri,” katanya.

Sementara itu, Presiden Ma­laysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar) merangkap Pe­ngerusi Ops Ihsan, Jismi Johari berkata, penganjuran majlis tersebut amat penting bagi memastikan kesedaran dunia terhadap isu Palestin.

“Malaysia kekal dengan ko­mitmen berprinsip untuk menuntut keadilan bagi rakyat Palestin. Kita menentang keras segala dasar Israel yang jelas melanggar norma undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×