SERAMAI 145 pelajar Tingkatan 2, Sekolah Tun Fatimah (STF), Johor Bahru menyertai program penulisan kreatif dan didedahkan dengan keunikan dunia kewartawanan, baru-baru ini.

Bengkel dengan tajuk ‘Penulisan Kreatif: Bijak Menulis, Hebat Berfikir’ itu dianjurkan oleh Panitia Bahasa Melayu sebagai program Kegiatan Sekolah Selepas Peperiksaan (KSSP) 2025.
Antara pengisian bengkel adalah, Topik 1 : sesi yang memberi fokus kepada penulisan menggunakan perkataan berkualiti, klasik, puitis dan bombastik untuk diselitkan dalam penulisan.

Mereka juga digalakkan supaya menggunakan pepatah, bidalan, peribahasa dan simpulan bahasa bagi memperkukuhkan lagi penulisan ayat atau isi karangan yang akhirnya menyumbang kepada penambahan markah.
Topik 2 pula adalah sesi perkongsian mengenai dunia kewartawanan dan media. Ia meliputi antara lain mengenai asas etika kewartawanan, asas berita, gaya dan disiplin bahasa, penekanan nilai berita, jenis laporan berita serta menulis keterangan gambar.
Bengkel dikendalikan pengamal media dan bekas wartawan ekonomi, Zuraidah Mohamed bersama penulis bebas dan perunding media, Mohd Kamal Ahmad.
Akhbar Utusan Malaysia digunakan sebagai rujukan peserta dan bahan gerak kerja berkumpulan kerana kewibawaan serta kualiti Bahasa Melayu yang digunakan dalam laporannya.
Menerusi gerak kerja secara individu dan berkumpulan pada segmen akhir bengkel, peserta berjaya menggunakan banyak perkataan berkualiti dalam tulisan mereka.
Gerak kerja individu melibatkan latihan menulis teks keterangan gambar, manakala pada gerak kerja berkumpulan, mereka diminta mengklasifikasikan enam jenis laporan iaitu berita politik, jenayah, hiburan, ekonomi, sukan dan masyarakat.
Ini menepati objek program yang akhirnya meningkatkan upaya mereka menghasilkan penulisan kreatif yang tersusun, menggunakan teknik pengolahan; bahasa yang lebih matang; menunjukkan kebolehan berfikir secara kreatif, logik dan kritis serta mengaplikasikan peribahasa, simpulan bahasa, ungkapan indah dan kata-kata hikmah dalam tulisan.
Mengulas penganjuran bengkel itu, Pengetua Sekolah Tun Fatimah (STF), Radziah Mohd Din berkata, program tersebut adalah sebahagian daripada proses membina kemahiran menulis yang perlu dikuasai setiap murid.

Beliau menegaskan, penguasaan itu bukan semata-mata untuk kepentingan akademik seperti menulis ayat dan karangan malah bagi melengkapkan kerjaya mereka pada masa depan.
“Pelajar perlu berusaha untuk mencapai kerjaya impian tetapi biarlah mereka juga mampu kongsikan pelbagai idea dan maklumat masing- masing menerusi tulisan berkualiti dalam platform mana-mana media arus perdana mahupun media sosial,” katanya. – UTUSAN










