PETALING JAYA: Skyline Luge Kuala Lumpur bakal menyambut ulang tahun kedua sejak dibuka pada 2023 dengan penganjuran pelbagai program dan aktiviti khas sepanjang Disember ini, termasuk hiburan secara langsung, cabutan hadiah serta promosi tunggangan.
Menurut kenyataan syarikat itu, sambutan tersebut turut menandakan dua tahun taman berkenaan menerima pengunjung dari dalam dan luar negara yang datang untuk menikmati pengalaman tunggangan graviti dan aktiviti keluarga.
Antara pengisian utama ialah persembahan busker secara langsung setiap Jumaat hingga Ahad dari pukul 5 petang hingga 9 malam, selain dekorasi bercahaya LED dan ruang bergambar di sekitar kawasan taman.
Setiap hari sepanjang bulan ini, pengunjung juga boleh menyertai cabaran trivia mengenai Skyline Luge untuk berpeluang memutar roda hadiah dan memenangi tunggangan percuma, barangan eksklusif atau baucar aiskrim.
“Bazar makanan dan minuman terpilih turut diadakan pada hari tertentu sepanjang Disember bagi memeriahkan suasana sambutan.
“Pengunjung juga boleh menikmati satu skup aiskrim Tip Top tambahan pada harga RM2 di Luge View Café,” menurut kenyataan itu.
Syarikat turut memperkenalkan promosi Kombo Ulang Tahun ke-2, yang menawarkan pengalaman tunggangan Skyline Hyfly pada harga RM20 apabila dibeli bersama kombo ulang tahun.
Semua promosi tertakluk kepada terma dan syarat. Maklumat lanjut mengenai sambutan ulang tahun serta tempahan boleh didapati melalui laman web rasmi atau media sosial Skyline Luge Kuala Lumpur. – UTUSAN










