Sistem pengangkutan pintar, Malaysia–Korea perkukuh kerjasama  - Utusan Malaysia

Sistem pengangkutan pintar, Malaysia–Korea perkukuh kerjasama 

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pertama dengan Republik Korea bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) melalui Pelan Hala Tuju ITS Malaysia 2030.

MoU yang dimeterai antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan (MOLIT) Korea merangkumi kerjasama dalam ITS dan sistem tol pintar, teknologi pembinaan mampan serta penyelenggaraan infrastruktur dan pengurusan aset.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu memperlihatkan iltizam kerajaan untuk melangkah lebih agresif dalam memperkasa mobiliti digital, keselamatan jalan raya dan kecekapan infrastruktur negara.

Katanya, pelan berkenaan bukan sekadar dasar, tetapi merupakan komitmen negara untuk menghasilkan kesan nyata termasuk mengurangkan kemalangan, melancarkan perjalanan, mengurangkan emisi serta meningkatkan pengalaman mobiliti bertaraf negara maju.

“Adalah menjadi penghormatan besar bagi saya mengalu-alukan kedatangan semua tetamu ke Korea–Malaysia ITS Roadshow 2025. MoU ini akan membuka lembaran baharu kerjasama Malaysia–Korea dalam bidang teknologi dan inovasi.

“Program ini bukan sekadar persidangan, tetapi satu detik memperbaharui komitmen, semangat kerjasama dan harapan untuk membangunkan mobiliti yang lebih pintar, selamat serta mampan bagi rakyat kita.

“Usaha ini menjadi bukti perjalanan dua hala yang dibina atas kepercayaan, rasa hormat dan keyakinan bahawa kedua-dua negara mampu membentuk masa depan mobiliti bersama,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Siri Jelajah ITS Korea-Malaysia 2025 dan Majlis Menandatangani MoU Malaysia-Korea bagi memperkukuh perkongsian pembangunan infrastruktur dan teknologi pembinaan di sebuah hotel di sini, hari ini. 

Alexander berkata, asas utama pelaksanaan ITS adalah berorientasikan rakyat dan bukan semata-mata soal teknologi atau sistem operasi.

Katanya, kerajaan mahu membina mobiliti yang selamat, cekap dan mesra pengguna untuk semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, pekerja serta pengguna jalan raya harian.

“Pada asasnya, ITS adalah tentang manusia, keselamatan seorang ibu yang memandu pulang, pekerja tiba tepat waktu, ambulans tiba lebih cepat dan kanak-kanak melintas jalan dengan selamat. ITS bukan hanya tentang sistem, tetapi tentang nyawa.

“Sehubungan itu, Malaysia komited memperkukuh kerjasama dengan Republik Korea memandangkan negara itu memiliki kepakaran luas dalam teknologi bandar pintar, digital dan pembangunan ITS.

“Hubungan Malaysia–Korea bukan baharu. Dari Jambatan Kedua Pulau Pinang ke Menara Berkembar Petronas. Kejuruteraan Korea tertulis dalam landskap negara dan ketika Malaysia dan Korea bersatu, kita bukan sahaja membina infrastruktur, tetapi membina legasi,” katanya.

Menurut Alexander, pihaknya optimis kerjasama tersebut akan melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai hab ITS serantau pada masa depan.

Katanya, Malaysia kini bersedia melangkah lebih jauh melalui ITS untuk dikenali di peta dunia sebagai negara yang memacu inovasi dalam teknologi pengangkutan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN