PETALING JAYA : Kegiatan satu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) mengenakan bayaran RM400 hingga RM500 seorang bagi membawa masuk warga asing melalui laluan tikus di sempadan Kelantan sebelum dihantar ke Lembah Klang terbongkar.
Pembongkaran kegiatan itu dibuat selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksanakan Operasi Khas pada Isnin hasil risikan selama tiga bulan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya berjaya menahan lapan buah kenderaan yang dipercayai digunakan untuk membawa PATI.
“Ketika pemeriksaan, kumpulan ‘transporter’ itu bertindak agresif dan cuba melarikan diri dengan memecut laju kenderaan dan melanggar beberapa buah kenderaan lain termasuk kenderaan pasukan operasi, namun berjaya dipintas.
“Terdapat juga warga asing yang sempat keluar dari kenderaan dan cuba melarikan diri dengan bersembunyi di dalam semak berhampiran, tetapi berjaya ditemui oleh pasukan operasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zakaria berkata, operasi yang bermula pada 5.52 pagi itu membabitkan Pasukan Taktikal Khas (PASTAK), Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya serta Imigresen Kelantan.
“Seramai tiga lelaki warga tempatan yang diketuai oleh ‘Mat Sero’ dan seorang lelaki warga Myanmar yang dipercayai sebagai ‘transporter’ telah ditahan.
“Turut ditahan, 35 warga Myanmar berusia lima hingga 45 tahun terdiri daripada 22 lelaki, 12 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan,” katanya.
Menurutnya, pihaknya turut merampas tiga telefon bimbit dan lapan kenderaan pelbagai jenis.
“Sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak enam bulan lalu dan menjalankan operasi hampir setiap minggu dengan menggunakan laluan tikus sebelum menyerahkan PATI kepada transporter tempatan,” jelasnya.
Zakaria berkata, empat suspek terdiri daripada tiga warga tempatan dan seorang warga Myanmar disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Seramai 35 warganegara asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya.










