Shukri Ramli letak jawatan MB Perlis

Shukri Ramli letak jawatan MB Perlis

MOHD. Shukri Ramli dalam sidang akhbar mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Mohd. Shukri Ramli mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar berkuat kuasa semalam.

Surat peletakan jawatan tersebut dipersembahkan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail tengah hari semalam.

Mohd. Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang berkata, keputusan itu dibuat secara secara sukarela dan atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.

“Saya mengambil kesempatan merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh warga pentadbiran negeri Perlis kerana sepanjang tiga tahun ini telah memberi kerjasama cukup erat.

“Terima kasih juga diucapkan kepada seluruh rakyat Perlis kerana sepanjang saya sebagai Menteri Besar telah memberi kerjasama cukup baik dan saya mohon maaf sekiranya ada kekurangan sepanjang pentadbiran,” katanya dalam sidang akhbar di kediaman rasmi Menteri Besar di sini.

Sebelum ini, lapan daripada 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) termasuk tiga dari Pas menyerahkan SD kepada Raja Perlis menyatakan penolakan sokongan terhadap Mohd. Shukri.

Mohd. Shukri berkata, beliau akan meneruskan khidmat di kawasan sebagai ADUN, manakala tugas Menteri Besar berkemungkinan dipangku sementara oleh Exco Kanan dan bakal ditentukan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Pengganti saya nanti akan teruskan agenda dirancang khusus dalam bajet dibentangkan baru-baru ini untuk pastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai hubungan dalaman PN, Mohd. Shukri berkata, kepimpinan tertinggi gabungan itu akan bermesyuarat bagi melihat semula penerimaan atau hubungan antara parti.

“Situasi yang berlaku itu dianggap sebagai pengkhiatan memandangkan Pas mempunyai baiah sebelum diangkat menjadi calon di mana tidak membolehkan seseorang menerima sebarang imbuhan,” katanya.

Mohd. Shukri merupakan Menteri Besar ke-11 selepas PN menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Perlis sekali gus menamatkan penguasaan Barisan Nasional (BN).

Beliau mula menjadi ADUN di Sanglang sejak tiga penggal dari 2013 dan pernah menjawat jawatan Pesuruhjaya Pas negeri dan Pengerusi PN.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN