BUKIT MERTAJAM : Seramai 137 pegawai penguat kuasa dan 60 pegawai pemantau harga (PPH) ditempatkan di beberapa lokasi strategik di seluruh negeri ini bagi memantau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 yang berlangsung selama lima hari, bermula hari ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan berkata, selain pasar-pasar awam dan pasar tani, pegawai-pegawai itu juga akan bertugas di beberapa pusat beli-belah bagi memastikan skim tersebut dipatuhi selain membantu melindungi pengguna daripada kalangan peniaga yang tidak beretika.
“Pada masa yang sama, KPDN akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan barangan kawalan mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim ini khususnya di Pulau Pinang.
“Dalam hal ini, kami berharap agar semua pihak mematuhi harga maksimum yang ditetapkan serta menggunakan label berwarna merah jambu bagi barangan di bawah kawalan harga,” katanya selepas melancarkan SHMMP Krismas 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Seberang Jaya, hari ini.
Sementara itu, Jegan berkata, sebanyak 72,652 premis perniagaan telah diperiksa di seluruh Pulau Pinang antara tempoh 1 Januari hingga semalam dengan 846 kes telah diambil tindakan iaitu melibatkan sitaan serta kompaun yang masing-masing berjumlah RM3,460,116 dan RM516,500.
“Untuk tempoh yang sama juga (1 Januari sehingga semalam) sebanyak 2,635 aduan berkaitan isu harga dan bekalan barangan telah diterima oleh KPDN Pulau Pinang merangkumi 1,146 aduan harga barangan dan perkhidmatan, 220 aduan bekalan barangan kawalan serta 1,269 lain-lain aduan,” ujar beliau.










