Sepatutnya kuota 6,000, kehadiran cecah 10,000 - Butterfingers

Sepatutnya kuota 6,000, kehadiran cecah 10,000 – Butterfingers

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan popular, Butterfingers mengimbau detik cemas apabila jumlah peminat yang hadir ke Konsert Transcendence 20 Tahun pada 2019 melebihi jangkaan sehingga mencecah kira-kira 10,000 orang.

Gitarisnya, Loque berkata, konsert yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam itu pada asalnya ditetapkan dengan kapasiti sekitar 6,000 penonton sahaja.

“Pada konsert Transcendence di Stadium Malawati, kami tidak menjangka kehadiran seramai itu. Namun alhamdulillah, dengan pertolongan Allah, keadaan menjadi muat-muat sahaja walaupun ketika itu kami memang risau.

“Dianggarkan sekitar 10,000 peminat hadir dan semuanya dapat masuk. Ketika itulah kami benar-benar faham kepentingan perancangan jualan tiket, khususnya soal saiz lokasi dan anggaran kapasiti penonton,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Loka Loko 2026 di The Cage, pusat beli-belah Lalaport, baru-baru ini.

Menurut Loque, situasi tersebut membuka mata mereka tentang risiko apabila permintaan melebihi kapasiti yang ditetapkan.

“Apabila ‘demand’ lebih tinggi daripada ‘supply’, kita bimbang ada penonton terpaksa berpatah balik selepas beratur panjang di luar. Syukur semuanya berjalan lancar dan keadaan dapat dikawal,” katanya.

Dalam pada itu, Loque meluahkan rasa lega apabila kru keselamatan berjaya mengawal keadaan dan tiada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan.

“Memang kami terlebih kuota. Sepatutnya kapasiti hanya 6,000 orang, tetapi yang masuk melebihi angka itu termasuk kru. Tidaklah terlalu sesak, cuma saf penonton agak rapat. Alhamdulillah, tiada kemalangan berlaku,” ujarnya.

Loque mengulas perkara tersebut susulan insiden yang dialami kumpulan Barbarik baru-baru ini apabila ratusan peminat dilaporkan terkandas di luar lokasi acara, sekali gus mencetuskan perbincangan mengenai aspek keselamatan dan pengurusan kapasiti konsert.

Sementara itu, pengurusan Odeon KL turut mengakui terdapat beberapa kekurangan sepanjang penganjuran konsert Pentas Barbarik: Live @ Odeon KL.

Selain Loque, Butterfingers turut dianggotai Emmett selaku vokalis, Kadax (bass) dan Loko (dram). -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN