PETALING JAYA: Hadir dengan buah tangan terbaharu, penyanyi, Allan Andersn tampil dengan single Senafas, sebuah karya berkualiti yang bakal meruntun jiwa penggemar muzik.
Keluar daripada zon selesa yang sebelum ini sering mengalunkan naskhah ciptaan sendiri, Allan mencabar diri dan membawa penggemar muziknya meneroka rasa baharu dalam lagu ciptaan komposer tempatan, Farouk Roman dan lirik hasil nukilan Senna.
“Saya benar-benar teruja dapat bekerjasama dalam projek ini. Sebagai seorang singer-songwriter, ini kali pertama saya menyanyikan lagu ciptaan komposer serta penulis lirik Malaysia dan pengalaman ini sangat bermakna.
“Lebih istimewa lagi, saya diberi kepercayaan untuk membawakan karya Farouk Roman, seorang komposer yang dihormati ramai dan digelar Raja OST di Malaysia. Saya keluar daripada zon selesa dan menganggap jalinan kerjasama ini sebagai lembaran baharu dalam kamus muzik saya,” katanya.
Dalam pada itu, Allan juga teruja kerana mendapat pengalaman berharga sepanjang merakamkan karya yang diterbitkan oleh SAAS Music Entertainment ini.
“Sepanjang rakaman, saya banyak belajar tentang cara Farouk membina melodi yang bukan sahaja indah, tetapi juga hidup dalam jiwa pendengar. Saya ambil pengalaman ini sebagai satu pelajaran baharu.
“Proses ini saya anggap sebagai sesuatu yang menyeronokkan kerana sebagai seorang pencipta lagu dan penyanyi, saya boleh beradaptasi dan mempelajari banyak perkara baharu,” katanya.
Bercakap tentang lagu, Senafas menceritakan kisah cinta yang penuh liku, di mana seseorang rela menanggung duka, dihancurkan berkali-kali, namun tetap menyayangi dengan sepenuh hati.
“Bagi saya, Senafas bukan sekadar lagu, tetapi sebuah kisah yang boleh menyentuh hati sesiapa sahaja yang mendengarnya. Ia menceritakan tentang cinta, pengorbanan dan ketabahan, perkara yang universal dan dekat dengan semua orang.
“Untuk naskhah ini, SAAS Music Entertainment memberi kepercayaan kepada saya untuk terlibat dalam kerja kreatif. Walaupun kali ini saya tidak terlibat dalam penciptaan lagu, saya mengarahkan muzik video Senafas yang dibintangi oleh saya sendiri bersama Rendy Wicaksana,” katanya.
Tambah menarik, Senafas dipilih sebagai runut bunyi rasmi (OST) untuk drama terbaru yang bakal bersiaran di Astro Prima berjudul Setiaku Berdiri.
Drama bersiri terbitan Radius One Sdn Bhd ini mendapat sentuhan Rashid Sibir di kerusi pengarah. Naskhah yang bakal menemui orang ramai ini menampilkan lakonan hebat Wanna Ali, Nazrief Nazri, Sweet Qismina, Aidit Noh dan ramai lagi.
“Saya teruja kerana peluang kerjasama ini membuka peluang untuk karya nyanyian saya ditampilkan dalam naskhah istimewa berjudul Setiaku Berdiri. Sudah pasti, saya gementar menanti reaksi peminat, tetapi saya yakin lagu ini bakal meninggalkan kesan dalam hati mereka yang mendengar,” katanya.-UTUSAN









