Saya tak tahu sebab tu zaman sebelum saya jadi Menteri Besar - Muhammad Sanusi - Utusan Malaysia

Saya tak tahu sebab tu zaman sebelum saya jadi Menteri Besar – Muhammad Sanusi

Muhammad Sanusi Md. Nor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menjelaskan, kes Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin yang didakwa di mahkamah terjadi sebelum beliau menjadi Menteri Besar Kedah.

Muhammad Sanusi berkata, beliau juga tidak mahu berlebihan mengulas kes tersebut memandangkan kini sudah di peringkat pendakwaan.

“Saya tak tau sebab tu zaman sebelum saya jadi menteri besar, sebelum saya masuk sini (Wisma Darul Aman), sebelum tahun 2020. Saya tak tau kejadian, peristiwa itu saya tak pasti, saya tak tau apa, saya pun tengok surat khabar saja.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tapi yang beri orang lain, yang ambil orang lain, yang kena orang lain pelik kan. Dia pun ada buat sidang akhbar kata ini pendakwaan bermotif politik, semua orang tahu siapa yang ikuti benda itu nampak dengan jelas,” katanya selepas Peluncuran Kedah Digital Blueprint 2025-2050, hari ini.

Semalam, Azman tidak mengaku bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan seorang ahli perniagaan, Amar Asuat Abu Bakar menerima rasuah berjumlah RM400,000 pada Jun 2020.

Pertuduhan berkaitan projek usaha sama ternakan lembu pedaging secara fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro di Kubang Pasu, daripada Kedah Agro Holding Berhad (KAHB).

Berhubung status projek fidlot itu, Muhammad Sanusi berkata, KAHB sudah ditamatkan operasi pada tahun lalu yang bermakna segala aktiviti berkaitan tidak lagi diteruskan.

“Saya tak ada maklumat, Kedah Agro pun tutup dah bila tutup maknanya tak ada aktiviti lain, dah tutup buku dah. Lagi pun ini kes lama sebelum 2020.

“Masa itu Menteri Besar orang lain, Exco-Exco pun orang lain tapi beliau salah seorang Exco pada masa itu. Tentang kejadian itu saya tak tau apa. Satgi depa kata dia ini bukan tau apa pula tapi memang dah tak tau sungguh,” katanya.

Ditanya sama ada Perikatan Nasional (PN) akan mengambil sebarang tindakan terhadap Azman, beliau berkata, langkah itu tidak akan dibuat kerana Azman belum diputuskan bersalah oleh mahkamah.

Untuk rekod, Azman ketika bersama PKR pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani Kedah di bawah pentadbiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir, sebelum keluar parti pada Mei 2020 dan meneruskan portfolio itu selepas Muhammad Sanusi dilantik menteri besar.

Azman tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah 2023, setelah memenangi kawasan Parlimen Padang Serai, sebelum itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×