PUTRAJAYA: Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar mahu berehat terlebih dahulu sebelum menunaikan umrah pada Jumaat ini selepas tidak lagi memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Katanya, beliau tidak mempunyai sebarang perancangan selepas ini dan hanya akan difikirkan kemudian.
“Insya-Allah, saya akan berangkat menunaikan umrah dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyantuni para pegawainya dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) buat kali terakhir hari ini.
Beliau yang tiba pukul 8.20 pagi di Kompleks Islam disambut oleh pegawai dan kakitangan agensi termasuk Setiausaha Politiknya, Dr Muhamad Razak Idris.
Selepas meluangkan masa kira-kira dua jam, Mohd Na’im, 58, kemudiannya berangkat pulang.
Mohd. Na’im antara tiga nama digugurkan daripada senarai Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan digantikan dengan Timbalannya, Zulkifli Hasan yang dinaikkan jawatan penuh.
Turut digugurkan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dan Timbalan Menteri Perpaduan, Saraswathy Kamdasamy.
Zaliha digantikan oleh Hannah Yeoh yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan.
Semalam, Mohd. Na’im merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan diberikan untuk menggalas amanah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam Kerajaan Madani.
Sepanjang tempoh menerajui portfolio Hal Ehwal Agama, Pelan Transformasi Al-Falah telah dilaksanakan sebagai kerangka utama pembaharuan institusi agama.
“Pelan ini telah memberi impak yang nyata melalui penambahbaikan tadbir urus institusi agama, penyelarasan dasar yang lebih bersepadu, peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan, serta pemerkasaan kebajikan umat Islam secara lebih tersusun dan berfokus.
“Pendekatan berteraskan data dan kebertanggungjawaban turut memastikan manfaat pelaksanaan dirasai secara langsung oleh kumpulan sasar,” katanya.
Pada masa sama, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja agensi Hal Ehwal Agama atas komitmen, profesionalisme dan dedikasi yang telah ditunjukkan sepanjang tempoh perkhidmatan saya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Dr. Zulkifli Hasan atas pelantikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
“Saya mendoakan agar beliau dapat meneruskan amanah ini dengan sebaiknya serta menyambung kesinambungan agenda dan inisiatif yang telah dirangka demi kepentingan agama dan negara,” katanya. – UTUSAN










