SEPANG: Bekas isteri penyanyi Nubhan, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau lebih dikenali sebagai Dr Fie, 33, berharap penyanyi itu dapat bekerjasama dalam memaklumkan berita perpisahan mereka kepada tiga anak.
Menurut Dr Fie, dia tidak mahu dilihat sebagai satu-satunya pihak yang menyampaikan berita menyedihkan itu tanpa kehadiran bapa mereka.
“Saya harap Nubhan dapat sama-sama beritahu anak-anak. Buat masa ini saya cuma beralasan yang ayah mereka sibuk bekerja.
“Saya tak mahu dianggap watak jahat ketika menyampaikan berita buruk ini,” katanya ketika ditemui selepas prosiding pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, hari ini.
Mengulas perkembangan keluarga, Dr Fie memaklumkan tahap emosi dan mental anak-anak berada dalam keadaan baik tanpa menunjukkan gangguan ekoran kemelut rumah tangga yang berlaku.
Katanya, anak-anak sudah biasa dengan rutin bersama dirinya memandangkan dia yang lebih banyak menguruskan mereka sebelum ini.
“Saya ada bertanya kepada cikgu di sekolah tentang perkembangan mereka. Alhamdulillah, tiada perubahan ketara. Mereka tidak menangis, tiada rasa diejek dan semuanya baik,” jelasnya.
Namun begitu, katanya, anak kedua dilihat mula menunjukkan rasa curiga apabila menyedari kedua-dua ibu bapa tidak lagi bersama seperti dulu.
“Anak pertama rasanya sudah boleh faham jika saya beritahu, tetapi anak kedua pula selalu bertanya kenapa Abah tak balik, kenapa tak ikut Abah.
“Setakat ini saya belum beritahu perkara sebenar,” katanya lagi.
Dalam prosiding hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan Nubhan menceraikan isterinya untuk kali kedua.
Peguam mewakili Nubhan, Mohd Ridzuan Ramli memaklumkan lafaz cerai pertama berlaku pada 19 Januari 2017 sebelum rujuk pada 21 Januari tahun sama, manakala cerai kali kedua berlaku pada 26 Ogos lalu.
Terdahulu, Nubhan memfailkan pengesahan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk terhadap isterinya membabitkan kejadian pada 2017 dan 26 Ogos lalu, selain satu lafaz rujuk selepas talak pertama.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr Afifah yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.
Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6; dan Afzan Nayille, 3.-UTUSAN










