PETALING JAYA: Bekas pelakon, Zizie Ezette, 47, mengakui masih melalui fasa sukar menerima pemergian suami tercinta, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang kembali ke rahmatullah pada 5 Disember lalu.
Menurut Zizie, kerinduan terhadap arwah tidak mungkin terhapus, namun beliau tetap berusaha menguatkan hati demi membesarkan empat cahaya mata mereka.
“Pada masa ini, saya masih melalui proses berkabung. Saya membenarkan diri saya untuk menangis. Saya membenarkan diri saya untuk merinduinya.
”Saya membenarkan diri saya merasai apa sahaja yang saya rasa kerana saya tahu ini adalah satu perjalanan yang perlu saya lalui, dan rasa rindu itu tidak akan pernah hilang.
“Semua ini perit, tetapi saya tahu saya perlu terus kuat demi anak-anak,” katanya menerusi hantaran di Instagram Story.
Zizie turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang mengirimkan doa, ucapan takziah serta kata-kata semangat sepanjang tempoh beliau berdepan ujian berat itu.
“Terima kasih semua atas ucapan takziah, doa dan kata-kata semangat. Saya baca setiap komen walaupun tidak mampu membalas semuanya. Saya benar-benar menghargainya.
“Mohon sedekahkan Al-Fatihah untuknya,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Zizie turut menarik perhatian warganet apabila memadam kesemua gambar di akaun Instagramnya, dipercayai sebagai salah satu proses melalui tempoh berkabung.
Allahyarham Bung Moktar disahkan meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang dan jangkitan kuman pada paru-paru di sebuah hospital di Kota Kinabalu, Sabah.
Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas pada hari sama, kira-kira pukul 2.10 petang.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2009 dan dikurniakan empat orang anak. -UTUSAN










