“Apa itu kumbahan?” – Soalan yang dilontarkan orang awam terutama anak-anak muda yang kurang memahami atau kurang ambil peduli akan apa yang berlaku selepas manusia mengepam tandas.
Menyedari hakikat ini, syarikat pembetungan nasional Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd telah mengorak langkah dalam menyantuni pelajar sekolah untuk menyemai kesedaran akan kepentingan sistem pembetungan negara demi kelestarian alam sekitar.
Komitmen syarikat ini dijalankan melalui salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) IWK iaitu program “Sahabat Sekolah IWK” dengan hasrat untuk mendekati dan menyuntik semangat mencintai alam sekitar di kalangan generasi muda, melalui perkongsian mengenai kepentingan sistem pembetungan yang cekap di kalangan pelajar.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat IWK, Wan Esuriyanti Wan Ahmad berkata, sejak Sahabat Sekolah dijalankan awal tahun ini, seramai kira-kira 17,000 pelajar di 22 buah sekolah telah menerima manfaatnya.
“Sahabat Sekolah diperkenalkan berikutan maklumbalas yang kami terima berkaitan kurangnya pemahaman asas anak-anak muda kita mengenai sistem pembetungan, yang mungkin dianggap ramai, sebagai sesuatu yang kurang penting dalam kehidupan seharian kita.
“Justeru, pendekatan pendidikan kami adalah dengan mengadakan program yang bukan sahaja dapat memberi pengetahuan asas kepada pelajar, malah dapat membantu pihak sekolah dan guru-guru dalam menjalankan pendidikan di luar kelas,” kata Wan Esuriyanti.
Menurut Wan Esuriyanti, program ini juga adalah selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menyediakan sokongan pendidikan jangka panjang kepada sekolah-sekolah terutamanya di luar bandar, di samping dapat menyokong aspirasi Kerajaan bagi mengalakkan keterlibatan aktif antara agensi dan masyarakat.
Melalui program Sahabat Sekolah IWK, pihak syarikat telah menyediakan sumbangan makanan sihat melalui penyediaan sarapan pagi, sesi interaktif kuiz dan ceramah mengenai jenis-jenis sistem pembetungan di Malaysia dan peranannya.
Pada masa yang sama, IWK juga menjalankan perkhidmatan pengosongan tangki septik, mencantikkan landskap kawasan sekolah terlibat atau menjalankan penambahbaikan fasiliti sekolah seperti mengecat bangunan dan sebagainya.
“Penganjuran program sebegini adalah bukti komitmen kukuh IWK dalam menyokong pendidikan holistik Kerajaan untuk mendidik anak-anak muda.
“Harapan kami, agar program ini dapat dijalankan lagi pada tahun hadapan dengan kerjasama lebih banyak sekolah di seluruh negeri,” tambah Wan Esuriyanti.
Menurut GPK HEM SK Taman Skudai Baru 2, Encik Shukor Haji Buang, program Sahabat Sekolah IWK telah memberi kesan baik kepada pelajar-pelajar dan juga guru, kerana program berkenaan telah dapat memberi pemahaman akan kepentingan penjagaan sistem pembetungan negara, di samping dapat merapatkan hubungan syarikat dengan pihak sekolah.
Program Sahabat Sekolah IWK merupakan salah satu aktiviti CSR syarikat di bawah semangat “IWK Cares” (atau IWK Prihatin), yang mana usaha ditumpukan kepada tiga pendekatan utama iatu kepentingan alam sekitar, hubungan komuniti dan pemerkasaan pendidikan atau pengetahuan.-UTUSAN










